Isnin, 7 November 2022 | 7:07am

PRU15: 'Mana bukti saya pakat dengan Zahid'

BUTTERWORTH: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sekali lagi menegaskan beliau tidak pernah berpakat mahupun berunding dengan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Anwar berkata, dakwaan itu tercetus apabila ia dimulakan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang dan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah memandangkan tidak ada sebarang pakatan atau rundingan bersama calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding untuk kerusi Parlimen Bagan Datuk itu.

"Yang start ( mula ) kata kita runding dengan Zahid dengan UMNO ni, Muhyiddin dengan Ustaz Hadi yang Ustaz Hadi dengan serban, jubah fitnah orang.

"Bila yang saya runding dengan Zahid?... bila yang saya kata saya nak pakat dengan Zahid?... mana bukti dia?" katanya ketika berucap pada Jelajah Mega Harapan Pulau Pinang di Tapak Ekspo Seberang Jaya, di sini, malam tadi.

Anwar (tengah) ketika hadir di Ceramah Mega Harapan di Tapak Ekspo Seberang Jaya. - For NSTP/Danial Saad
Anwar (tengah) ketika hadir di Ceramah Mega Harapan di Tapak Ekspo Seberang Jaya. - For NSTP/Danial Saad

Jelas Anwar, Abdul Hadi sepatutnya menjaga adab dan akhlak selaras dengan imejnya sebagai seorang ulama dan tidak sepatutnya berkelakuan seumpama itu

"Orang agama ini kena belajar yang mana dalam politik kena jaga akhlak, kalau tidak saya tak peduli walaupun nanti orang kata Anwar antiulama.

"Siap kata saya antiulama... yang saya anti (adalah) orang politik yang bertopengkan agama," katanya.

Media sebelum ini melaporkan Abdul Hadi dalam satu kenyataan mendakwa wujud satu muslihat antara UMNO serta BN dan PH dalam menghadapi PRU15.

Kenyataan sama turut dikeluarkan Muhyiddin yang mendakwa terdapat kemungkinan wujud kerjasama antara kedua-dua pemimpin itu selepas pilihan raya bagi membentuk kerajaan.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (kiri) dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Berita Harian X