Ahad, 6 November 2022 | 10:55pm
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Manifesto GPS di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) - Foto NSTP/Nadim Bokhari
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg melancarkan Manifesto GPS di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK) - Foto NSTP/Nadim Bokhari

GPS lancar manifesto jamin kemajuan dan kestabilan

KUCHING : Gabungan Parti Sarawak (GPS) menggariskan lima tonggak utama di dalam manifesto pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang bertemakan 'Menjamin Sarawak Stabil, Maju, Makmur'.

Perkara utama dalam lima tonggak itu GPS menjanjikan politik, sosial, ekonomi dan kewangan stabil dan mampan yang diterajui kepimpinan yang mengutamakan masa depan Sarawak.

Keduanya memastikan pembangunan infrastruktur dan kemudahan bandar serta luar bandar dititikberatkan demi kesejahteraan rakyat

Tonggak ketiga, menjamin transformasi ekonomi dan pelbagai sumber kewangan mampu meningkatkan pendapatan bagi memacu pembangunan Sarawak.

Tonggak keempat pula menyediakan latihan modal insan dan keadilan sosial serta agama diutama manakala kelima memastikan tadbir urus cekap dan berintegriti berprestasi tinggi sebagai pemangkin kemajuan Sarawak.

Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Abang Openg berkata, pihaknya berjanji dan komited untuk melaksanakan 25 teras di dalam lima tonggak utama manifesto itu yang menjamin semua lapisan masyarakat sama ada di bandar atau luar bandar mendapat pembelaan sewajarnya.

Menurutnya, GPS bertekad pada PRU15 ini untuk menawarkan manifesto yang menyeluruh dan inklusif berpaksikan kepentingan rakyat dan mengutamakan kepentingan negara.

"Manifesto ini yang pertama kita rangka untuk kita bertanding pada peringkat kebangsaan sebagai parti Sarawak sendiri. Kita akan memperjuangkan hak yang harus kita perjuangkan.

"GPS dengan satu hala tuju menawarkan apa yang kita sebut di dalam manifesto itu dan saya memberi jaminan ia bukan janji kosong seperti manifesto Pakatan Harapan dahulu yang katanya bukan kitab suci," katanya.

Beliau yang juga Premier Sarawak berkata demikian dalam ucapan pelancaran manifesto itu di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, malam ini.

Abang Johari berkata, di dalam lima tonggak itu, GPS merangka 25 teras serta 125 komitmen yang akan dilaksanakan untuk rakyat Sarawak.

Sementara itu pada sidang media selepas majlis berkenaan beliau berkata, tumpuan utama GPS pada PRU15 adalah bagi berkolaborasi bagi membantu mewujudkan Kerajaan Persekutuan yang kuat dan stabil.

"Kita ada pengalaman dalam 22 bulan di bawah PH dan banyak masa kita dibazirkan dalam beberapa tahun lalu hanya disebabkan kecelaruan politik," katanya

Berita Harian X