KUALA LUMPUR: Percaturan merebut majoriti lebih besar pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dilihat tidak hanya tertumpu kepada calon individu, sebaliknya ada yang 'mengheret' ahli keluarga demi mengukuhkan parti diwakili mereka.
Ini membabitkan calon anak beranak, adik beradik mahupun mempunyai pertalian kekeluargaan yang bertanding di kerusi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN).
Tampil bergandingan atas tiket PEJUANG di Kedah, Tun Dr Mahathir Mohamad dan anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sekali lagi cuba mempertahankan kemenangan masing-masing di kerusi Parlimen Langkawi serta Jerlun.
Tidak kurang juga bagi pasangan anak beranak Datuk Seri Anwar Ibrahim, isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Nurul Izzah yang kekal bergandingan merebut kepercayaan pengundi bagi menempah tempat di Dewan Rakyat.
Anwar pada PRU15 beralih ke Parlimen Tambun, manakala Dr Wan Azizah ke Bandar Tun Razak dan Nurul Izzah pula cuba mempertahankan kemenangannya di Parlimen Permatang Pauh dengan ketiga-tiga mereka bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH).
Perumpamaan 'air dicincang tidak akan putus' pula boleh diterjemah menerusi pertembungan Datuk Seri Shahidan Kassim dan adiknya, Datuk Ismail Kassim biarpun kini sudah tidak bernaung di bawah parti sama.
Shahidan beralih angin
Shahidan yang 'merajuk' akibat tidak dicalonkan Barisan Nasional (BN) bagi mempertahankan Parlimen Arau, beralih angin dan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) di kerusi berkenaan.
Ismail pula kekal bertanding menggunakan tiket BN bagi mempertahankan kerusi DUN Tambun Tulang yang terletak dalam kawasan Parlimen dimenangi abangnya pada PRU14.
Menampil sisi seakan-akan sama, penyandang kerusi DUN Malim Nawar, Leong Cheok Keng dan adiknya, Leong Cheok Lung mempertaruhkan nasib bagi meraih sokongan pengundi menerusi Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Cheok Keng cuba mempertahankan kerusi disandangnya, manakala Cheok Lung membuat penampilan sulung bertanding di Parlimen Kampar.
Beralih ke Pulau Pinang, Lim Guan Eng dan Lim Hui Ying julung kalinya bergandingan sebagai abang dan adik yang bertanding sebagai calon PH, masing-masing di Parlimen Bagan dan Tanjong.
Penyandang kerusi Puchong, Gobind Singh Deo beralih ke Parlimen Damansara turut dilihat bergandingan bersama adiknya, Ramkarpal Singh yang cuba mempertahankan kemenangan di Parlimen Bukit Gelugor, dengan kedua-dua mereka mewakili PH.
Seorang lagi adik beradik mereka, Jagdeep Singh Deo adalah EXCO Kerajaan Tempatan, Perumahan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang.
Biarpun berlainan ibu, ia tidak menghalang Datuk Dr Ibrahim Ali dan adiknya, Che Mohd Asemari Che Ali untuk merebut dua kerusi Parlimen di Kelantan menggunakan tiket Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) yang bernaung bawah Gerakan Tanah Air (GTA).
Ibrahim membuat penampilan bagi merebut Parlimen Rantau Panjang, manakala Che Mohd Asemari pula mencuba nasib di kerusi Tumpat.
Sementara itu, dua calon yang mempunyai hubungan kekeluargaan akan berentap meraih sokongan pengundi di Parlimen Maran. Mereka ialah penyandang kerusi itu, Datuk Seri Dr Ismail Abd Mutalib dan calon BN, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.