Ahad, 6 November 2022 | 3:22pm
Pencari kerja, terutama belia mencuba temu duga terbuka dari pelbagai majikan pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia Kuala Selangor 2022 di 1 Plaza, Kuala Selangor, baru-baru ini. NSTP/Faiz Anuar
Pencari kerja, terutama belia mencuba temu duga terbuka dari pelbagai majikan pada Majlis Perasmian Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia Kuala Selangor 2022 di 1 Plaza, Kuala Selangor, baru-baru ini. NSTP/Faiz Anuar

231 orang terus diambil bekerja oleh majikan

KUALA LUMPUR: Lebih 1,000 pencari kerja menghadiri tiga siri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 anjuran Kementerian Sumber Manusia (KSM) menerusi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Perak dan Selangor, baru-baru ini.

PERKESO dalam kenyataan berkata, daripada jumlah itu, seramai 231 orang berjaya untuk terus diambil bekerja oleh majikan selepas ditemu duga secara terus dalam karnival yang berlangsung, manakala 486 orang pula berjaya ke peringkat temu duga seterusnya.

Katanya, dalam usaha berterusan untuk menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dan mengurangkan kadar pengangguran, KSM pada minggu lalu melaksanakan Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Tapah pada 2 November lalu serta di Kuala Selangor dan Hulu Selangor serentak pada 3 dan 4 November.

"Dalam penganjuran Karnival Kerjaya di Arena TN50 Tapah di Perak, PERKESO bekerjasama dengan Human Resource Development Corporation (HRD Corp), satu lagi agensi di bawah KSM.

"Karnival sehari ini menawarkan lebih 4,000 jawatan kosong daripada 10 majikan dalam pelbagai sektor dan menyaksikan 46 orang terus memperoleh pekerjaan, sementara 67 lagi akan ke peringkat temu duga seterusnya.

"Di karnival ini juga, majikan yang menggajikan pekerja menerusi Portal Pekerjaan Negara MYFutureJobs di bawah KSM diberikan Sijil Penghargaan, manakala Orang Berinsurans PERKESO pula menerima alatan pemulihan dari PERKESO," katanya.

Kenyataan itu berkata, seramai 22 individu yang bekerja sendiri turut mendapat tajaan caruman Pelan ke-2 Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) daripada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan yang sentiasa prihatin dengan golongan berkenaan.

Katanya, acara penyampaian faedah juga dilaksanakan untuk pencarum PERKESO termasuk Starter Kit yang disediakan oleh HRD Corp.

Kenyataan itu berkata, Siri Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 di Plaza 1, Kuala Selangor pula, disempurnakan oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, karnival dua hari itu disertai oleh 26 majikan yang menyediakan lebih 5,600 peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor seperti perhotelan, perkhidmatan makanan dan minuman serta peruncitan.

"Di Kuala Selangor, seramai 84 calon ditawarkan pekerjaan setelah ditemu duga majikan di karnival berkenaan, manakala 203 orang pula berjaya ke peringkat temu duga seterusnya," katanya.

Katanya, Karnival Kerjaya di Hulu Selangor pula dilaksanakan dengan kerjasama satu lagi agensi KSM iaitu Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) dan disempurnakan oleh Pengerusi NIOSH, Datuk T Mohan.

"Sebanyak 16 majikan menyertai Karnival Kerjaya ini dengan lebih 6,000 kekosongan pekerjaan ditawarkan buat pencari kerja.

"Karnival yang berlangsung di Dewan Dato' Abdul Hamid, Batang Kali ini menyaksikan 101 calon berjaya memperoleh pekerjaan sepanjang dua hari tersebut, manakala 216 orang ke peringkat temu duga seterusnya," katanya.

Katanya, beberapa perkhidmatan dan aktiviti turut dijalankan di ketiga-tiga siri Karnival Kerjaya ini termasuklah pendaftaran MYFutureJobs serta khidmat nasihat dan bimbingan kerjaya daripada Pegawai Perkhidmatan Pekerjaan PERKESO.

"Portal MYFutureJobs yang juga tonggak kepada perkhidmatan pekerjaan PERKESO, sehingga kini sudah membantu 635,103 orang pencari kerja memperoleh pekerjaan.

"Sehingga kini, sebanyak 39 Karnival Kerjaya Jamin Kerja Keluarga Malaysia 2022 dianjurkan PERKESO dengan sasaran sebanyak 43 karnival sepanjang tahun ini," katanya.

Selain karnival itu, turut diadakan adalah 4,565 program temu duga mingguan dan harian yang dijalankan di seluruh Malaysia untuk membantu pencari kerja dan penganggur memperoleh pekerjaan.

Berita Harian X