Ahad, 6 November 2022 | 2:12pm
Calon BN Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam (tengah) beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pengkalan Chepa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar
Calon BN Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam (tengah) beramah mesra dengan penduduk di sekitar Pengkalan Chepa. - Foto NSTP/Nik Abdullah Nik Omar

PRU15: Semangat berkempen di kubu kuat PAS

KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Pengkalan Chepa tidak gentar untuk turun padang berkempen walaupun Parlimen berkenaan dilabel sebagai kubu kuat PAS.

Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin sebaliknya akan memanfaatkan tempoh berkempen selama dua minggu itu sebaik mungkin bagi mendekati pengundi.

"Orang kata saya calon muda yang baru berusia 37 tahun, namun diketakkan sebagai calon di kubu kuat PAS, bagaimanapun saya tidak menjadikan ia sebagai kelemahan.

"Sebaliknya saya akan berusaha untuk turun padang dan berjumpa dengan seramai mungkin pengundi di Parlimen Pengkalan Chepa.

"Fokus saya adalah mahu berjumpa dengan pengundi secara bersemuka bagi menunjukkan saya calon BN di Perlimen inI," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Beliau berkata, walaupun pada peringkat awal sudah difitnah oleh individu tertentu, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang.

"Di Parlimen Pengkalan Chepa mempunyai 106,000 pengundi dengan 60 peratus daripadanya adalah pengundi muda.

"Saya akan memberi tumpuan kepada golongan berkenaan bagi meraih undi dan pada masa sama tidak akan meminggirkan pengundi lain.

"Insya-Allah dengan kerja keras dan semangat pengundi yang mahukan perubahan, saya mampu menawan kubu kuat PAS ini," katanya.

Berita Harian X