KUANTAN: Seramai 150 calon mula mengatur strategi kempen pilihan raya masing-masing sepanjang tempoh dua minggu bermula hari ini, bagi merebut 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Daripada jumlah calon yang sudah disahkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) itu, Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) mempertaruhkan 42 calon, diikuti PH (41 orang) dan bakinya calon PEJUANG dan Bebas.
Percaturan terbabit sekali gus menyaksikan pertandingan lima penjuru di empat DUN, diikuti empat penjuru (17 DUN), tiga penjuru (20 DUN) dan hanya satu DUN membabitkan saingan satu lawan satu iaitu DUN Kemayan selepas SPR menolak borang penamaan calon PH.
Pada PRU14, BN Pahang menang 25 kerusi, diikuti PH sembilan dan PAS lapan kerusi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang mengetuai misi BN dengan mempertahankan kerusi DUN Jelai berdepan saingan calon PN dan PH, namun dijangka tidak berdepan masalah besar untuk menang kerusi berkenaan.
Pastinya kemenangan akan membolehkan Wan Rosdy dilantik semula sebagai Menteri Besar untuk penggal kedua.
Wan Rosdy yang juga penyandang sejak 2004 yakin Belanjawan Negeri Pahang 2023 yang dibentangkan awal bulan lalu, menjadi manifesto terbaik untuk BN terus kekal memerintah negeri itu.
Tumpuan juga diberi kepada beberapa kerusi seperti DUN Cheka dengan kehadiran Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang bertanding atas tiket PN dan perlu berdepan saingan empat penjuru bersama calon BN, PH dan PEJUANG.
Pencalonan Tuan Ibrahim yang turut bertanding di Parlimen Kubang Kerian itu membuktikan kesungguhan PN untuk memenangi kerusi berkenaan, selain dikatakan bakal dilantik menjadi Menteri Besar jika gabungan PN mampu memecah tembok penguasaan BN pada pilihan raya kali ini.
Pengalaman dimiliki Tuan Ibrahim yang juga Menteri Sumber Alam Sekitar dan Air dikatakan memberikan lebih pilihan kepada pengundi DUN Cheka yang memiliki lebih 90 peratus pengundi Melayu untuk membuat pilihan, memandangkan lawannya iaitu calon BN, Ho Fong Mee yang juga Ketua MCA Bahagian Lipis dikatakan tidak cukup dikenali pengundi kerana statusnya sebagai calon baharu.
Tuan Ibrahim yang berasal dari Kampung Batu Balai dalam DUN Cheka juga optimis dapat merampas kerusi yang dimenangi BN pada PRU14 kerana yakin masyarakat di DUN Cheka begitu dekat dengan saya dan jentera PAS sedia membantu kemenangannya.
Persaingan di DUN Peramu Jaya dalam Parlimen Pekan yang juga kubu kuat BN, tidak kurang hebatnya apabila anak sulung kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak iaitu Datuk Mohamad Nizar mengesahkan bertanding di kerusi berkenaan.
Aura Najib yang sebelum ini begitu sinonim dengan Parlimen Pekan sudah pasti memberikan kelebihan kepada Mohamad Nizar yang julung kali bertanding dalam pilihan raya untuk memastikan kemenangan kepada BN.
Namun, Mohamad Nizar yang juga Ketua Pemuda UMNO Pekan akan berdepan tentangan tiga calon iaitu Abu Talib Mohammad (PN), Tugimon Abdul Hamid (PH) dan calon Bebas, Tengku Datuk Zainul HisyamTengku Hussin.
Tidak ketinggalan kerusi DUN Tanjung Lumpur disandang Rosli Abdul Jabar yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang, yang dicabar calon BN iaitu Naib Ketua UMNO Bahagian Kuantan, [email protected] Nordin, selain calon PH, Sabrina Md Yusuff dan Ruslam Ahmad (PEJUANG).
Bagi DUN Beserah dalam Parlimen Indera Mahkota pula, penyandang, Andansura Rabu yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang tidak diberi laluan mudah oleh pencabarnya kerana calon BN menampilkan Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid, manakala PH diwakili Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Pahang, Zulkifli Mohamed.
Saingan lima penjuru bagi DUN Beserah disertai dua lagi pencabar iaitu calon PEJUANG, Mohd Fauzi Taib dan Tan Siang Yew (Bebas).