Sabtu, 5 November 2022 | 6:58pm
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony akan memfailkan kes penolakan pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom di Mahkamah Tinggi, Isnin ini. NSTP/Ihsan Pasukan Media Parti KDM
Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony akan memfailkan kes penolakan pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom di Mahkamah Tinggi, Isnin ini. NSTP/Ihsan Pasukan Media Parti KDM

Borang pencalonan dibatal, Peter akan fail semakan kehakiman Isnin ini

TENOM: Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony akan memfailkan kes penolakan pencalonannya bagi kerusi Parlimen Tenom di Mahkamah Tinggi, Isnin ini.

Beliau berkata, satu laporan polis juga sudah dibuat berhubung perkara itu dan ia akan disusuli tindakan mahkamah bagi mendapatkan semakan terhadap keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Katanya, alasan bantahan itu ada kaitan dengan keputusan mahkamah dalam kes yang dihadapinya, baru-baru ini, tidak dapat diterima kerana sabitan ke atasnya sudah digantung.

"Oleh kerana dalam penghakiman Mahkamah Kuala Lumpur, baru-baru ini, sabitan itu sudah digantung, bererti saya tiada apa-apa kesalahan," katanya pada sidang media, di sini, petang tadi.

Tengah hari tadi, berlaku rusuhan di Pusat Penamaan Calon PRU15 Kerusi Parlimen Tenom berikutan rasa tidak puas hati penyokong Peter selepas mengetahui pencalonannya ditolak.

Mengulas lanjut, Peter mendakwa, insiden itu berpunca daripada SPR yang lewat memaklumkan pembatalan pencalonannya.

Katanya, semua proses penamaan calon sudah selesai dan hanya menunggu pengumuman rasmi di hadapan penyokong sebelum Pegawai Pengurus Pilihan Raya memaklumkan pencalonannya ditolak.

Beliau berkata, ketika itu barulah beliau dimaklumkan mengenai bantahan terhadap kertas pencalonannya daripada SPR Pusat.

Peter berkata, beliau kemudian mempersoalkan kewajaran bantahan itu memandangkan tempoh bantahan sudah tamat dan proses pencalonan juga sudah selesai.

"Kita memaklumkan kepada mereka bahawa masa tambahan atau masa bantahan dari jam 9 pagi ke 10 pagi sudah habis.

"Pihak SPR atau Pegawai Pengurus Pilihan Raya juga sudah menerima semua dokumen tanpa bantahan dan pengiraan, cabutan nombor sudah dilakukan.

"Mengapa pula pada saat akhir hampir jam 12 tengah hari mereka memaklumkan bahawa ada bantahan daripada SPR Pusat dan Pegawai Pengurus Pilihan Raya menarik semula keputusan awal," katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap itu berkata, beliau kemudian bertanya sebab pencalonannya dibatalkan sebelum dimaklumkan ia adalah keputusan SPR Pusat.

"Mereka (SPR) menyatakan bahawa pihak SPR Sabah tiada masalah, cuma pihak SPR Pusat yang mempunyai masalah. Jadi sebenarnya inilah yang berlaku hari ini," katanya.

Parlimen Tenom bakal menyaksikan saingan lima penjuru dengan calon Pakatan Harapan (PH) Noorita Sual daripada DAP bertanding mempertahankan kerusi dimenanginya pada PRU14 berdepan Jamawi Jaafar (BN-UMNO), Ukim Buandi (Parti Warisan), dan dua calon Bebas iaitu Riduan Rubin serta Peggy Chaw Zhi Ting.


Suara Kita

Berita Harian X