Sabtu, 5 November 2022 | 6:40pm

Calon BN Pengkalan Chepa lapor polis dakwa difitnah

KOTA BHARU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa, Dr Mohd Hafiezulniezam Mohd Hasdin, membuat laporan polis susulan fitnah yang mendakwa beliau tidak menamatkan pengajian di universiti, selain tidak layak menggunakan gelaran doktor.

Beliau berkata, fitnah itu mula tersebar malam tadi dan berlarutan sehingga hari ini, sekali gus memaksa dirinya tampil untuk membuat laporan polis.

"Saya tegaskan di sini dakwaan berkenaan tidak benar sama sekali. Saya belajar di universiti di Indonesia dalam bidang perubatan pada 2004 sebelum menamatkan pengajian pada 2009.

"Saya yakin fitnah berkenaan bertujuan untuk memalukan saya, selain membunuh karier saya sebagai calon BN pada PRU15.

"Malah, fitnah itu juga bertujuan jahat supaya fokus saya hilang sepanjang tempoh berkempen," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu, di sini, hari ini.

Beliau berkata, segala bukti termasuk dokumen sijil pengajiannya pun sudah diserahkan kepada pihak polis untuk siasatan lanjut.

"Saya berharap individu berkenaan dikenakan tindakan setimpal," katanya.

Terdahulu, tular di media sosial mengatakan calon BN bagi kerusi Parlimen Pengkalan Chepa itu tidak menghabiskan pengajian di Indonesia selain tidak layak menggunakan gelaran doktor.


Suara Kita

Hafiezulniezam menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu susulan fitnah terhadap dirinya. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Hafiezulniezam menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kota Bharu susulan fitnah terhadap dirinya. - NSTP/ NIK ABDULLAH NIK OMAR
Berita Harian X