Sabtu, 5 November 2022 | 4:32pm
Khalid memasuki Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini. - Foto NSTP/Ahmad Suhael Adnan
Khalid memasuki Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini. - Foto NSTP/Ahmad Suhael Adnan

PH mohon maaf, pemilihan Rina satu kesilapan - Khalid Samad

KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) memohon maaf kepada pengundi di Parlimen Titiwangsa kerana mencalonkan Datuk Seri Rina Harun mewakili parti itu pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad yang menjadi calon PH di Parlimen Titiwangsa pada PRU15, berkata pemilihan Rina adalah satu kesilapan selepas Ketua Srikandi BERSATU itu mengkhianati PH, dan kini meninggalkan pengundi di Titiwangsa.

"Kepada mereka yang mengundi Rina (pada PRU15), PH terpaksa meminta maaf. Semua orang tahu berlakunya pengkhianatan dan dia sudah meninggalkan kawasan ini.

"Pimpinan menganggap bagus untuk meletakkan saya di sini kerana tiada orang akan pertikaikan, saya takkan lompat dan takkan tinggalkan kawasan," katanya selepas penamaan calon di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Terdahulu, Khalid disahkan sebagai satu daripada empat calon di Parlimen Titiwangsa dalam PRU15.

Beliau akan menentang calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Johari Abdul Ghani; calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Pada PRU14, kerusi Parlimen Titiwangsa dimenangi oleh Rina yang ketika itu mewakili PH dengan majoriti 4,139 undi, menewaskan Johari dan calon PAS, Mohamad Noor Mohamad.

Untuk PRU15, Rina yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat 'melarikan diri' dari Parlimen Titiwangsa untuk bertanding di Parlimen Sepang mewakili PN.

Sementara itu, Khalid memaklumkan akan memberi tumpuan pada isu pembangunan Kampung Baru sepanjang berkempen di Parlimen Titiwangsa, khususnya membabitkan penggunaan Akta Pengambilan Tanah 1960 untuk mengambil tanah penduduk Kampung Sungai Baru.

"Penggunaan akta ini adalah soal merampas tanah orang secara paksa bila mereka tidak setuju dengan harga yang ditawarkan. Ini satu duluan yang perlu dihentikan.

"Saya yakin jika PH kembali berkuasa, mekanisme pengambilan tanah secara paksa dengan harga yang tak dipersetujui pemilik akan dihentikan sama sekali," katanya.

Sementara itu, Khairuddin memilih menggunakan pendekatan bertanding secara kekeluargaan sepanjang berkempen memandangkan lawannya di Parlimen Titiwangsa, Johari dan Khalid, adalah sahabatnya.

"Sebenarnya calon ini semua sahabat karib saya. Saya akan bertanding secara kekeluargaan dan arahkan ejen kempen saya tak gunakan apa-apa provokasi atau serangan peribadi," katanya.

Mengakui menjadi calon 'underdog' di Titiwangsa, Khairuddin bertekad mahu menemui seramai mungkin pengundi dan mahu menyelesaikan beberapa isu yang berlarutan sejak sekian lama di kawasan itu.

"Di Parlimen Titiwangsa, banyak perkara tak dapat diselesaikan seperti tanah Kampung Baru dan isu pengambilalihan tanah Kampung Sungai Baru, isu strata di Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) dan masalah banjir," katanya.

Berita Harian X