Sabtu, 5 November 2022 | 4:31pm
Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) calon PBM untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ampang. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Datuk Zuraida Kamaruddin (tengah) calon PBM untuk mempertahankan kerusi Parlimen Ampang. - NSTP/MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI

PRU15: PBM tampil 66.7 peratus calon wanita

KUALA LUMPUR: Parti Bangsa Malaysia (PBM) menampilkan hampir 70 peratus calon wanita bagi membawa cabaran pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Daripada enam kerusi Parlimen ditandingi, parti berkenaan menamakan empat atau 66.7 peratus wanita sebagai calonnya, manakala untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pula, PBM meletakkan seorang wanita daripada dua kerusi yang ditandingi.

Mengetuai senarai calon wanita parti berkenaan adalah Datuk Zuraida Kamaruddin, presiden pengganti PBM yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Ampang, disusuli timbalannya, Haniza Talha di kerusi Hulu Selangor.

Haniza Talha (tengah) calon PBM di kerusi Hulu Selangor.
Haniza Talha (tengah) calon PBM di kerusi Hulu Selangor.

Selain itu, Ketua Wanita PBM, Dr Daroyah Alwi akan bertanding di Parlimen Kapar, manakala Dayang Rusimah Mohd Din dicalonkan bagi kerusi Parlimen Labuan.

Bagi kerusi DUN, parti itu menamakan ahli perniagaan, Nazmahwati Walli di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang akan dijalankan serentak bersama PRU15.

Zuraida berkata, meletakkan ramai calon wanita selaras dengan agenda PBM mengenai usaha pemerkasaan wanita, sekali gus melangkaui kuota 30 peratus yang ditetapkan sesetengah parti politik lain untuk calon wanita.

"Dalam PBM, kami percaya golongan hawa perlu memainkan peranan yang lebih dominan dalam politik kita yang didominasi lelaki.

"Kajian menunjukkan wanita lebih peka terhadap keperluan pengundi. Saya percaya jika lebih ramai wanita memegang jawatan penting di dalam politik negara, masyarakat kita tidak akan berpecah-belah seperti sekarang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, calon wanita ditampilkan PBM adalah pemimpin yang berkaliber, mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam berkhidmat kepada masyarakat setempat dan kerjaya cemerlang dalam bidang masing-masing.

"Pemerkasaan wanita adalah satu daripada enam teras PBM. Lima lagi ialah pembabitan pelbagai kaum, pemerkasaan anak muda, pembangunan ekonomi, peningkatan pendidikan dan kemajuan sains teknologi sebagai elemen untuk menjadikan Malaysia negara maju.

"Pemerkasaan wanita sudah berada dalam DNA parti ini. Inilah sebabnya kami merayu kepada pengundi untuk memberi peluang kepada PBM kerana kami percaya pemimpin wanita bukan sahaja efektif, tetapi mempunyai lebih empati," katanya.

Zuraida bakal menentang lapan pencabar, iaitu Ketua Beliawanis MCA, Ivone Low Yi Wen mewakili Barisan Nasional (BN), Rodziah Ismail (Pakatan Harapan), Sasha Lyna Abdul Latif (Perikatan Nasional) dan Nurul Ashikin Mabahwi (Parti Pejuang Tanah Air).

Turut bertanding, Lai Wai Chong (Parti Warisan) dan tiga calon Bebas, Muhammad Shafiq Izwan Mohd Yunos, Tan Hua Meng serta M Raveendran.

Berita Harian X