Sabtu, 5 November 2022 | 3:34pm
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa (P119), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua dari kiri) bersama pencabar (dari kiri) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG), Khalid Abd Samad (PH) dan Dr Rosni Adam (PN). - Foto BERNAMA
Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa (P119), Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua dari kiri) bersama pencabar (dari kiri) Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (PEJUANG), Khalid Abd Samad (PH) dan Dr Rosni Adam (PN). - Foto BERNAMA

Tiga sahabat karib bertembung di Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Bertanding atas semangat kekeluargaan dan persahabatan adalah pendekatan digunakan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) bagi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Khairuddin Hassan.

Khairuddin berkata, beliau tekad bertanding secara sihat tanpa provokasi mahupun serangan berbaur peribadi kepada tiga pesaingnya yang lain.

Calon PEJUANG bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS
Calon PEJUANG bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS

"Saya juga sudah arahkan ejen kempen saya supaya tidak menggunakan apa-apa provokasi atau serangan peribadi sepanjang tempoh berkempen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana ia bukan strategi saya untuk menang.

"Tambah pula, calon lain, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (Barisan Nasional) dan Khalid Abdul Samad (Pakatan Harapan) adalah sahabat karib saya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas selesai proses penamaan calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki, di sini, hari ini.

Katanya, beliau menyedari kemunculannya sebagai calon 'underdog' dan kerana itu, pasukannya sudah bekerja keras sejak lebih dua tahun lalu untuk menghadapi PRU15.

"Saya akui saya akan masuk ke sini sebagai calon underdog. Saya tak bawa nama besar. Saya tak ada nama, jadi kita akan kerja keras terus mendekati seramai mungkin pengundi walaupun kita sudah bekerja sejak dua tahun lalu," katanya.

Beliau berkata, isu yang menjadi fokus dan teras PEJUANG adalah isu tanah Kampung Baru, pengambilan tanah Kampung Sungai Baru, isu strata, isu perparitan, banjir, masalah juvenil dan Program Perumahan Termiskin (PPRT).

Sementara itu, Khalid berkata, beliau yakin Pakatan Harapan (PH) mampu menawarkan penyelesaian kepada isu pengambilan tanah penduduk Kampung Sungai Baru.

"Ini satu penindasan dan semua pemimpin Melayu serta Islam perlu melindungi kaum dan bangsa mereka daripada dianiaya.

"Jadi, jika saya dipilih penduduk Titiwangsa, saya akan membela nasib dan menyuarakan keresahan mereka di Parlimen," katanya.

Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertandingan empat penjuru, membabitkan Johari, Khairuddin, Khalid serta seorang calon wanita tunggal daripada PAS mewakili Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam.

Berita Harian X