KOTA BHARU: "Insya-Allah, jika rezeki saya menang kedua-dua di Parlimen Kubang Kerian, Kelantan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Cheka di Lipis, Pahang tanggungjawab akan tetap dijalankan dengan baik," kata Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
Tuan Ibrahim berkata, komitmen beliau untuk kedua-dua jawatan berkenaan masih boleh dilaksanakan dengan bantuan jentera parti yang ada di setiap kawasan.
Malah, beliau akan memanfaatkan kemajuan teknologi maklumat dan media sosial bagi kemudahan perhubungan komunikasi dengan pengundi dan jentera pilihan raya di kedua-dua kerusi berkenaan.
"Saya bertanding di DUN Cheka kerana ia adalah kampung halaman saya (Kampung Batu Balai). Masyarakat di sana juga dekat dengan saya, justeru perjuangan untuk menjadi pemimpin di kawasan berkenaan akan diteruskan.
"Tambahan pula, ramai kenalan saya di kawasan terbabit selain banyak program dijalankan bersama pengundi di DUN Cheka sebelum ini.
"Umum mengetahui, jentera PAS ada di semua cawangan sekali gus dapat turut membantu saya dalam menjalankan tugas selain saya sendiri akan turut sama turun padang di kedua-dua lokasi tidak kira di Kelantan atau Pahang," katanya ditemui selepas menyerah borang permohonan calon PAS Parlimen Kubang Kerian di Dewan Besar Balai Islam, Komplek Islam Darul Naim, di sini, hari ini.
Tuan Ibrahim hadir bersama penyokong, Kamarul Zaman Che Ibrahim dan pencadang, Mohd Nuri Mat Yaacob.
Turut bertanding di Parlimen Kubang Kerian ialah calon Barisan Nasiona (BN), Datuk Nurul Amal Mohd Fauzi, calon Pakatan Harapan (PH), Dr Wan Ahmad Kamil Wan Abdullah dan calon PEJUANG, Mohamad Rizal Razali.
Beliau turut berkongsi matlamat utama untuk meneruskan perjuangan menjadikan Kubang Kerian sebagai Bandar Diraja jika kemenangan berpihak kepadanya dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
"Ini adalah kali kedua saya bertanding di kerusi Parlimen Kubang Kerian. Sebelum ini banyak isu yang kita cuba selesaikan termasuk berkaitan pembinaan jalan raya, masalah air dan sebagainya.
"Saya juga selalu ingatkan kepada jentera pilihan raya supaya berkelakuan baik serta menjaga peribadi sepanjang proses berkempen supaya dapat terus mengekalkan suasana aman dalam berhadapan PRU15," katanya.