BATU KAWAN: Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, hadir di pusat penamaan calon di Kolej Vokasional Seberang Perai hari ini, bagi menyerahkan sendiri borang pencalonannya untuk bertanding kerusi Parlimen Batu Kawan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), setelah pulih COVID-19.
Pengerusi DAP Pulau Pinang itu telah bebas daripada penyakit tersebut, selepas disahkan positif Selasa lepas.
"Saya didapati positif pada Selasa, tetapi saya telah makan ubat dan pulih hari berikutnya dengan keputusan negatif COVID-19 ujian kendiri," katanya kepada pemberita selepas proses penamaan calon.
Meskipun masih mengalami batuk berkahak, Kon Yeow berkata, beliau telah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) kuarantin dan diuji negatif, sebelum ke pusat penamaan calon hari ini.
Kon Yeow yang hadir berpakaian kemeja lengan panjang putih dan seluar hitam, diiringi isteri Tan Lean Kee; Timbalan Ketua Menteri II, P.Ramasamy dan penyokong, tiba di pusat itu kira-kira 7.45 pagi.
Ahad lepas, DAP mengumumkan Kon Yeow yang juga bekas Ahli Parlimen Tanjong, sebagai calon Pakatan Harapan untuk Batu Kawan, menggantikan penyandang Kasthuriraani Patto yang mengumumkan tidak bertanding pada PRU15.
Kasthuriraani memenangi kerusi itu dengan majoriti 33,553 undi pada pilihan raya umum lepas. – BERNAMA