BERA: Pakatan Harapan (PH) hilang satu kerusi selepas borang penamaan calonnya bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kemayan ditolak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), hari ini.
Penolakan borang pencalonan Manolan Mohamad diumumkan Pegawai Pengurus Pilihan Raya Parlimen Bera, Datuk Zaman Azam Mohamat Sarif ketika mengumumkan senarai akhir calon yang bertanding bagi kerusi DUN berkenaan.
Susulan daripada penolakan itu, DUN Kemayan dalam Parlimen Bera menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Khaizulnizam Mohamad Zuldin dengan Shapuan Hussin (PN).
Difahamkan, calon Kemayan dari PH beralamat luar Pahang menyebabkan pencalonannya ditolak.
Pengarah SPR Pahang, Datuk Zamree Hamli, berkata alamat kad pengenalan Manolan adalah di Shah Alam.
"SPR mensyaratkan calon yang mahu bertanding bagi kerusi DUN perlu bermastautin di dalam negeri di mana seseorang ingin bertanding. Jadinya, SPR menolak borang pencalonannya," katanya.
DUN Kemayan sebelum ini dimenangi Mohd Fadil Osman dari BN dengan majoriti 4,618 undi.