Sabtu, 5 November 2022 | 12:34pm
Calon PEJUANG, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan beramah mesra dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS, Dr Rosni Adam di hadapan pintu masuk Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. - Foto NSTP/Ahmad Suhael Adnan
Calon PEJUANG, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan beramah mesra dengan calon Perikatan Nasional (PN) daripada PAS, Dr Rosni Adam di hadapan pintu masuk Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. - Foto NSTP/Ahmad Suhael Adnan

PRU15: Calon PAS mahu teruskan legasi Dr Lo'lo' di Titiwangsa

KUALA LUMPUR: Tekad meneruskan legasi Allahyarhamah Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali menjadi pembakar semangat bagi calon Perikatan Nasional (PN), Dr Rosni Adam sepanjang berkempen di Parlimen Titiwangsa pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Dr Rosni mengakui Dr Lo'Lo' yang pernah memenangi kerusi Parlimen Titiwangsa mewakili PAS ketika PRU12, meletakkan penanda aras tinggi sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat sebelum menghembuskan nafas terakhir pada 17 Julai 2011.

Enggan melihatnya sebagai cabaran, doktor gigi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu yakin kecemerlangan Dr Lo'lo' bakal membantu meyakinkan pengundi untuk memilihnya berbanding calon nama besar lain pada 19 November nanti.

"Legasi Dr Lo'lo' sangat membantu saya sebab kebanyakan tempat kita pergi, orang mengenai beliau, terutama orang lama sebab dia betul-betul berkhidmat.

"Saya rasa lega kerana boleh jadikan Dr Lo'lo' sebagai satu 'modal' untuk saya meneruskan legasi beliau," katanya ketika ditemui di Pusat Penamaan Calon (PPC) Parlimen Titiwangsa di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Terdahulu, Dr Rosni disahkan sebagai satu daripada empat calon di Parlimen Titiwangsa pada PRU15, dan bakal menentang Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN); calon Pakatan Harapan (PH), Khalid Abdul Samad dan calon Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan.

Mengulas lanjut, Dr Rosni yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, mengakui memiliki banyak persamaan dengan Dr Lo'lo', antaranya Allahyarhamah juga menyandang jawatan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS ketika bertanding di Parlimen Titiwangsa pada 2008.

"Ketika bertanding, beliau adalah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS. Saya juga sudah tiga penggal memegang jawatan ini.

"Latar belakang kami lebih kurang sama, jadi Insya-Allah saya yakin boleh menyambung apa yang Allahyarhamah lakukan kepada pengundi dan rakyat di sini," katanya yang pernah bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak dalam PRU14.

Ditanya mengenai kesediaan bertanding di Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni mengakui tidak kekok kerana tidak asing dengan kawasan itu selaku anak jati Kuala Lumpur, selain pernah bersekolah di dalam kawasan Parlimen Titiwangsa.

"Selalu calon tunggal wanita di Titiwangsa, saya yakin pengundi Malaysia perlu menghantar lebih ramai wanita ke Parlimen, dan saya juga calon paling muda di sini dan boleh tampilkan idea lebih segar berbanding calon lain," katanya.

Berita Harian X