Sabtu, 5 November 2022 | 11:09am

PRU15: 4 penjuru di Titiwangsa, Johari lawan Khalid curi tumpuan

KUALA LUMPUR: Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan empat penjuru membabitkan calon daripada empat gabungan utama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) iaitu Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).

Perkara itu diumumkan Pegawai Pengurus Pusat Penamaan Calon Parlimen Titiwangsa, Firdzaus Said di Pusat Penamaan Calon (PPC) di Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki di sini, hari ini.

Kerusi itu bakal menyaksikan pertembungan sengit antara dua calon 'heavyweight', seorang ahli politik kontroversi serta seorang calon tunggal wanita.

Mereka adalah Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili BN; Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad (PH); Pengerusi Perhubungan PEJUANG Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam (PN).

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (tengah) bersama penyokong berarak pada penamaan calon PRU15 di pusat penamaan calon Parlimen P119 Titiwangsa yang diadakan di Dewan Bestari Aminuddin Baki Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. - Foto NSTP/Aswadi Alias

Johari yang pernah menyandang kerusi itu sembilan tahun lalu pada PRU13, mengetuai misi BN untuk merampas kembali Parlimen Titiwangsa.

Ia juga dilihat sebagai misi kemunculan kembali Johari, selepas gagal mempertahankan kerusi panas itu pada PRU14 selepas tewas kepada calon PH, Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Dalam saingan kali ini, PH mempertaruhkan Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad, dalam usaha mempertahankan kerusi yang dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.

Khalid yang menang di Parlimen Shah Alam sewaktu PRU14, menjadi pilihan di Titiwangsa berdasarkan pengalamannya yang pernah berurusan dalam beberapa isu penduduk di kawasan itu ketika menjadi Menteri Wilayah Persekutuan selama 22 bulan.

Pertembungan antara Johari yang juga bekas Menteri Kewangan II dengan bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu, dijangka menjadi tumpuan utama di Titiwangsa sepanjang PRU15, dan isu pembangunan Kampung Baru mungkin menjadi isu yang akan disentuh kedua-dua calon.

Selain dua calon 'heavyweight' itu, perebutan kerusi Parlimen Titiwangsa akan turut membabitkan Khairuddin mewakili Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG), yang menjadi sebahagian komponen GTA.

Suami kepada pelakon Datin Seri Umie Aida itu pernah bertanding di Parlimen Jasin mewakili PH dalam PRU14, namun tewas tipis oleh calon BN, Datuk Seri Ahmad Hamzah dengan majoriti 219 undi.

PN juga akan turut mencuba nasib merampas kerusi Parlimen Titiwangsa dengan mempertaruhkan seorang doktor gigi yang juga Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Rosni Adam.

Selaku calon wanita tunggal di Parlimen Titiwangsa, Dr Rosni yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS, dilihat bakal berdepan cabaran getir untuk menumbangkan nama besar dalam arena politik tanah air.

Bagaimanapun, misi itu tidak mustahil memandangkan PAS pernah mencipta kejutan dengan merampas kerusi Titiwangsa yang pernah menjadi kubu kuat BN dalam PRU12, menerusi calon wanita Allahyarhamah Dr Lo'lo' Mohamad Ghazali.

Layari laman web MyUndi untuk berita dan keputusan terkini https://www.myundi.com.my/

Suara Kita

Calon Barisan Nasional bagi kerusi Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua dari kiri ), Calon Pejuang, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan (kiri), Calon AMANAH ,Khalid Samad (dua kanan) dan Calon Perikatan Nasional, Dr Rosni Adam (PN) selepas berjaya menghatar borang pencalonan di pusat penamaan calon Parlimen P119 Titiwangsa yang diadakan di Dewan Bestari Aminuddin Baki Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki. - Foto NSTP/ASWADI ALIAS.

Berita Harian X