Sabtu, 5 November 2022 | 7:21am

PRU15 bermula hari ini dengan penamaan calon

PUTRAJAYA: Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bagi memilih kerajaan baharu Malaysia bermula hari ini dengan proses penamaan calon di 222 pusat penamaan di seluruh negara.

Turut diadakan serentak adalah Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bugaya di Sabah yang tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menetapkan hari pengundian pada 19 November dan pengundian awal pada 15 November.

Tempoh berkempen ditetapkan selama 14 hari bermula hari ini selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding dan akan berakhir pada 11.59 malam, 18 November.

Selain 222 kerusi Parlimen yang dipertandingkan, pilihan raya bagi 116 kerusi DUN di Perlis, Pahang dan Perak turut diadakan serentak selepas ketiga-tiga negeri itu membubarkan DUN masing-masing susulan pembubaran Parlimen ke-14 pada 10 Oktober lalu.

Daftar pemilih yang akan digunakan untuk PRU15, pilihan raya negeri dan PRK Bugaya adalah Daftar Pemilih Tambahan Ogos 2022 yang dikemas kini hingga 9 Oktober 2022.

Anggota polis menyusun kon penghadang di kawasan penyokong sebelum ketibaan penyokong parti politik pada hari penamaan calon bagi Parlimen P187 Kinabatangan sempena PR15 di Dewan Sri Lamag hari ini. --foto BERNAMA
Anggota polis menyusun kon penghadang di kawasan penyokong sebelum ketibaan penyokong parti politik pada hari penamaan calon bagi Parlimen P187 Kinabatangan sempena PR15 di Dewan Sri Lamag hari ini. --foto BERNAMA

Negeri-negeri diterajui Pakatan Harapan (PH) iaitu Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Selangor serta yang diterajui PAS iaitu Terengganu, Kelantan dan Kedah tidak membubarkan DUN dan tiada pilihan raya peringkat DUN berkenaan.

Sabah, Melaka, Sarawak dan Johor sebelum ini telah mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) masing-masing. PRN Sabah diadakan pada 26 September 2020, Melaka (20 November 2021), Sarawak (18 Disember 2021) dan Johor (12 Mac 2022).

PRK DUN Bugaya pula diadakan bersekali dengan PRU15 berikutan kematian penyandangnya Manis Muka Mohd Darah pada 17 November 2020 dan tertangguh ekoran proklamasi darurat bagi mencegah penularan pandemik COVID-19.

Sebelum penggal Parlimen ke-14 dibubarkan, komposisi kerusi Dewan Rakyat menyaksikan Pakatan Harapan (PH) dengan 90 kerusi, Barisan Nasional (43), Bersatu (28), Gabungan Parti Sarawak (19), PAS (17), Warisan (tujuh), Parti Bangsa Malaysia (enam), Parti Pejuang Tanah Air (empat), Bebas (tiga) dan masing-masing satu kerusi bagi parti MUDA, Parti Sarawak Bersatu dan STAR.

Dua kerusi kosong selepas kematian penyandangnya iaitu Datuk Hasbullah Osman dari BN bagi kerusi Parlimen Gerik, Perak dan Datuk Liew Vui Keong dari Parti Warisan bagi kerusi Parlimen Batu Sapi, Sabah. – BERNAMA

Suara Kita

Anggota Trafik mula menutup laluan ke Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor yang dijadikan Pusat Penamaan Calon seawal jam 6 pagi sempena PRU15. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Anggota Trafik mula menutup laluan ke Dewan Dato Ahmad Razali, Ampang, Selangor yang dijadikan Pusat Penamaan Calon seawal jam 6 pagi sempena PRU15. - Foto NSTP/Mohamad Shahril Badri Saali
Berita Harian X