Jumaat, 4 November 2022 | 8:53pm
Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya, Mohamad Syafiq Anwar Mohd Saidi (kiri) bersama Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Putrajaya, Ahmad Fadhly Ghazali (tengah) selepas membuat laporan polis berkaitan pemasangan bendera parti di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH
Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya, Mohamad Syafiq Anwar Mohd Saidi (kiri) bersama Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan Putrajaya, Ahmad Fadhly Ghazali (tengah) selepas membuat laporan polis berkaitan pemasangan bendera parti di Putrajaya. - Foto NSTP/MOHD FADLI HAMZAH

PH Putrajaya lapor polis, parti politik pacak bendera

PUTRAJAYA: Pakatan Harapan (PH) Putrajaya, hari ini membuat satu laporan polis berhubung pelanggaran pemasangan bendera parti politik di sekitar Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, di sini.

Ketua Penerangan PKR Cabang Putrajaya, Mohamad Syafiq Anwar Mohd Saidi, berkata tindakan itu melanggar peraturan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954, Undang-Undang Kecil Akta Pilihan Raya dan Perintah 6 (1), Undang-Undang Kecil Kerajaan Tempatan (Iklan Pilihan Raya) 1990.

Beliau berkata, parti politik yang ingin menawarkan calon

mereka di sesebuah kawasan pilihan raya hanya dibenarkan memasang bendera dan bahan kempen selepas penamaan calon.

"Bagaimanapun, hari ini kita dapat lihat penuh di kiri dan kanan jalan raya dengan bendera dan papan iklan beberapa parti politik. Ini dikesan berlaku sejak beberapa hari lalu.

"Tindakan ini jelas tidak menghormati undang-undang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) iaitu Perbadanan Putrajaya (PPj)," katanya ketika ditemui selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya, di sini.

Beliau berkata, pihaknya mahu tindakan tegas diambil pihak berkuasa bagi membuktikan ketelusan dan keadilan dapat ditegakkan sebelum dan semasa pilihan raya berlangsung.

Mohamad Syafiq berkata, berdasarkan tinjauan, pihaknya mendapati beberapa parti giat memacak bendera di sekitar Presint 11 dan Presint 14, di sini.

"Ketika memandu balik ke Putrajaya dari Kuala Lumpur, ada beberapa bendera parti yang jatuh bersepah tepi jalan. Ini membahayakan orang ramai terutama penunggang motosikal," katanya sambil menggesan PPj dan SPR turut mengambil tindakan sewajarnya.

Berita Harian X