Jumaat, 4 November 2022 | 5:33pm
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

Khutbah Jumaat: Tanggungjawab ketua, pemimpin pastikan kesejahteraan umat

KUALA LUMPUR: Khutbah Jumaat di seluruh masjid di ibu negara hari ini mengingatkan bahawa ketua dan pemimpin ada tanggungjawab besar dalam memastikan kesejahteraan umat Islam.

Khutbah itu bertajuk Tanggungjawab Kepada Negara mengingatkan jemaah bahawa Allah SWT sudah memerintahkan supaya amanah kepimpinan hendaklah diberikan kepada individu yang layak lagi berkemampuan.

Khutbah yang dikeluarkan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) itu turut meminta rakyat memilih pemimpin yang mempunyai kriteria al-Qawiyy (kompeten) dan al-Amin (berintegriti) supaya pemerintahan negara dapat diuruskan dengan baik.

"Ketua dan pemimpin memainkan peranan yang sangat besar dalam memastikan kesejahteraan agama dan umat Islam. Mereka bertanggungjawab mengurus dan mentadbir urusan umat dalam masa yang sama memastikan tertegaknya keadilan, membasmi kezaliman serta tertunainya amanah.

"Ia bukanlah suatu tugas ringan yang boleh dipikul oleh sembarangan orang. Oleh yang demikian, Allah SWT telah memerintahkan supaya amanah kepimpinan ini hendaklah diberikan kepada individu yang layak lagi berkemampuan," demikian menurut teks khutbah itu.

Tanggungjawab memilih pemimpin dengan kriteria tertentu dan berkelayakan sentiasa menjadi keutamaan dalam Islam. Kepimpinan dalam Islam adalah suatu tanggungjawab yang dibebankan ke atas setiap mereka yang dilantik dan diberi kuasa sebagai ketua sama ada untuk keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Pemimpin mestilah orang yang memiliki kemahiran membina dan membangunkan orang lain, berkeupayaan untuk memberikan panduan dan dorongan kepada mereka yang dipimpin dalam melaksanakan tanggungjawab.

Setiap pemimpin yang baik mestilah turut sama merasai denyut nadi rakyat bawahannya.

Rasulullah SAW adalah contoh pemimpin terbaik yang mesti diteladani. Lihatlah ketika peristiwa Perang Ahzab, baginda SAW sendiri bersama dengan para sahabat menggali parit sebagai benteng daripada ancaman musuh yang menyerang Kota Madinah.

Asas kriteria seorang pemimpin ialah mempunyai sifat al-Qawiyy iaitu kemampuan dan keupayaan individu serta kompetensinya dalam pelaksanaan tugas yang dipertanggungjawabkan, manakala al-Amin pula ialah sifat amanah dan bertanggungjawab serta berintegriti dalam menunaikan sesuatu tugas.

Justeru, dalam usaha memilih seseorang pemimpin, rakyat bertanggungjawab menilai setiap prestasi, disiplin, akhlak, perwatakan dan pemikiran calon-calon yang ada bagi membuat pilihan yang tepat untuk menentukan al-Qawiyy dan al-Amin yang ada bagi satu-satu kerusi jawatan yang dipertandingkan.

"Ingatlah, mensia-siakan amanah adalah suatu kerosakan yang besar."

Khutbah itu berkata, Malaysia adalah sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi berparlimen dan menerusi sistem itu, rakyat mempunyai kuasa memilih pemimpin untuk membentuk kerajaan.

Wakil yang dipilih oleh rakyat sama ada bagi kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bertindak untuk memperjuangkan kepentingan rakyat yang diwakilinya.

"Pilihan raya adalah salah satu cara, kaedah dan saluran pembabitan seluruh warga dalam membuat keputusan untuk memberi mandat kepada mana-mana pihak yang bertanding untuk membentuk sebuah kerajaan.

"Kuasa rakyat akan menentukan pihak manakah yang akan memerintah, membentuk pembangunan dan masa hadapan negara.

"Dalam musim pilihan raya ini, mimbar mengingatkan semua pihak supaya bersama-samalah menjaga adab dalam pertuturan dan penulisan khususnya di media-media sosial, hentikan sebarang perbuatan fitnah dan mengadu domba, tumpukanlah kepada agenda pembangunan rakyat dan negara.

"Walaupun berbeza pandangan dan aliran, utamakan hubungan persaudaraan sesama insan. Janganlah sekali-kali mencetuskan provokasi yang boleh menggugat keharmonian masyarakat dan negara."

Menurut teks khutbah itu, budaya politik matang dan sihat amat penting untuk menjamin pilihan raya dapat berlangsung dalam suasana aman, tenteram, terkawal dan selamat.

Sebagai umat Islam tentunya menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi adalah suatu amanah dan tuntutan.

"Justeru, marilah kita tunaikan kewajipan sebagai pengundi dan memastikan setiap ahli keluarga kita yang layak untuk mengundi supaya turut menunaikan tanggungjawab ini demi kestabilan dan kesejahteraan negara yang sangat kita cintai ini.

"Patuhilah peraturan-peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa sepanjang proses pilihan raya berlangsung," katanya.

Berita Harian X