Jumaat, 4 November 2022 | 4:35pm
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP
Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim. - Foto NSTP

PRU15: Anwar nafi PH berpakat bersama UMNO

ALOR SETAR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa PAS menabur fitnah apabila menuduh Pakatan Harapan (PH) berpakat bersama UMNO pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Anwar yang juga Pengerusi PH, berkata Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang tidak sepatutnya berbohong ketika beliau sering membawa imej Islam dan dihormati sebagai ulama.

Berikutan itu, beliau menuntut Abdul Hadi membuktikan dakwaan berkaitan perkara itu sekiranya mengetahui ia ada berlaku.

"Sekarang apabila sudah tak ada modal, kamu kata PH dan UMNO berpakat. Pakat apa? Kamu bercakap tentang agama, Islam dan akhlak tetapi mana buktinya?

"Kita lawan dalam pilihan raya, itu tak apa. Tetapi buat apa tabur fitnah?. Kalau kamu orang biasa tak tahu agama tak mengapa, tetapi kamu pakai jubah, serban sampai orang cium tangan tanda hormat tetapi cakap tak betul.

"Mana boleh begitu? Kamu ustaz, tak boleh bohong begitu," katanya dalam Siri Jelajah Mega Harapan di sini, malam tadi.

Abdul Hadi dalam satu sidang medianya kelmarin mendakwa, sebahagian pemimpin UMNO sengaja mengatur strategi mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) sebagai langkah membentuk kerjasama bersama PH selepas PRU15.

Anwar berkata, dakwaan itu tidak berasas kerana PH bertekad menang sekurang-kurangnya 112 kerusi pada PRU15 dan membentuk Kerajaan Persekutuan baharu.

"Buat apa kita nak runding dengan UMNO dan jika buat rundingan, UMNO akan tanya (minta jawatan) menteri tertentu.

"Mohamad Sabu (Presiden Parti Amanah Negara) dan Anthony Loke (Setiausaha Agung DAP) sudah berapa lama beri sokongan kepada saya, tetapi tidak pernah sebut mahu tuntut menteri itu dan ini.

"Anda ingat kalau UMNO atau Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang runding, mereka takkan tuntut sebarang jawatan atau kontrak?" katanya.

Berita Harian X