Jumaat, 4 November 2022 | 2:00pm
 Sivarasa
Sivarasa

PRU15: Sivarasa akui digugur saat akhir, ada masalah pita suara

KUALA LUMPUR: Penyandang kerusi Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa mengakui nama beliau berada dalam senarai calon sehingga petang Jumaat lalu, beberapa jam sebelum pengumuman calon Pakatan Harapan (PH) dibuat.

Katanya, nama beliau digugurkan di saat akhir dan mengetahuinya selepas dimaklumkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

"Saya menerima sepenuhnya keputusan Anwar selaku ketua parti. Beliau mempunyai hak untuk menentukan keputusan akhir dengan mengambil kira tahap kesihatan saya dan sebarang faktor lain yang dianggap relevan.

"Sepanjang tiga bulan lalu, saya menghadapi masalah pita suara dan kini menggunakan alat bantu pertuturan bagi membantu dan melindungi suara," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Kenyataan itu sebagai penjelasan berhubung perbezaan pandangan antara Anwar dan Timbalannya, Rafizi Ramli mengenai pengguguran Sivarasa sebagai calon PH Parlimen Sungai Buloh.

Semalam, Rafizi yang juga Pengarah Pilihan Raya PKR, dilaporkan berkata beliau sudah mengesyorkan partinya mengekalkan Sivarasa sebagai calon Parlimen Sungai Buloh.

Bagaimanapun, katanya, Anwar mempunyai pandangan berbeza mengenai perkara itu.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Sivarasa memenangi kerusi Sungai Buloh dengan majoriti 26,634 undi, menewaskan Nuridah Salleh daripada PAS.

Mengulas lanjut Sivarasa yang juga Ketua Biro Undang-undang, PKR menjelaskan Anwar maklum mengenai tahap kesihatannya dan menyatakan kebimbangan berhubung perkara itu.

Katanya, beliau menjelaskan kepada Anwar bahawa beliau mempunyai pendekatan berbeza bagi menguruskan kempen pilihan raya dengan mengambil kira keadaan suaranya.

"Sehingga pagi Jumaat lalu (28 Oktober) nama saya kekal sebagai calon kerusi Parlimen Sungai Buloh.

"Kira-kira jam 5 petang pada hari itu, saya menerima pesanan ringkas daripada Anwar mengatakan selepas perbincangan lanjut, beliau memutuskan saya tidak akan menjadi calon.

"Anwar ada cuba menghubungi sejurus sebelum memberikan pesanan dalam bentuk teks tetapi saya tidak dapat menerima panggilan itu," katanya .

Beliau memaklumkan Anwar maklum pencalonan Khairy Jamaluddin beberapa hari sebelum itu.

Justeru, beliau meminta polemik mengenai pencalonan beliau dihentikan kerana apa yang lebih penting ketika ini adalah memberikan tumpuan kepada kempen untuk PH memenangi Putrajaya.

Berita Harian X