Jumaat, 4 November 2022 | 10:49am

Dakwaan atur strategi kecil kemenangan BN fitnah besar - Ahmad Zahid

PUTRAJAYA: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyifatkan dakwaan kononnya pemimpin parti mahu mengecilkan kemenangan Barisan Nasional (BN) bagi memberikan kemenangan kepada Pakatan Harapan (PH) sebagai propaganda dan fitnah besar.

Pengerusi BN itu berkata, apa pun strategi kemenangan ia sebahagian daripada langkah taktikal dan semua parti mahu kemenangan besar termasuk parti baru bertanding.

"Fitnah terdesak ini datangnya pemimpin yang selalu menggunakan agama untuk berkuasa dalam politik tetapi tidak menggambarkan erti perjuangan sebenar.

"Terlalu mudah mengkafirkan orang yang tidak bersetuju seperti Amanat pernah dikeluarkan pada tahun 1981," katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.

Bercakap pada sidang media di Alor Setar, Kedah semalam, Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang, berkata sebahagian pemimpin UMNO didakwa sengaja mengatur strategi bagi mengecilkan kemenangan BN pada Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Beliau mendakwa, maklumat diterimanya menyatakan, tindakan itu adalah sebahagian daripada langkah untuk membentuk kerjasama dengan PH selepas PRU15.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO, berkata dalam usaha BN memulih serta mencapai kemenangan pada PRU15, banyak faktor yang diambil kira supaya resipi kejayaan benar-benar tercapai.

Beliau berkata, dalam menggabungjalinkan segala strategi ke arah kemenangan, perjuangan itu merentasi gender dan etnik.

Katanya, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor membuktikan strategi berkempen dan membuat perubahan dalam pemilihan calon misalnya memberikan impak besar kepada keputusan pilihan raya.

"Dalam isu gender memang kita sedaya upaya memenuhi agar pengisian itu memenuhi permintaan wanita. Ada bantahan kalangan pihak tertentu misalnya ada calon penyandang lelaki misalnya tidak mahu memberikan laluan kerana masih mahu bertanding mengekalkan kuasa seperti di Padang Besar Perlis.

"Kita juga meletakkan calon wanita di Tanjung Karang sebagai mengiktiraf peranan perjuangan wanita. Kita sedaya upaya meletakkan calon wanita sebanyak mungkin, saya kira bukan sahaja BN, tetapi parti lain juga lakukan perkara sama," katanya.

Beliau berkata, pemilihan calon untuk memenangi sesebuah kawasan Parlimen juga tidak melihat warna kulit, etnik dan gender etnik.

"Sesiapa sahaja dilihat boleh menang dan memiliki ciri 'WALI' akan dipertaruhkan untuk bertanding. Semua calon terbaik namun ada nilai tambah yang perlu untuk penyegaran (revival) parti agar berdaya saing dan bercirikan politik generasi masa depan.

"Dengan kata lain kalau boleh diungkapkan sebagai " tidaklah kisah sama ada warna kucing tersebut, hitam atau putih atau warna apa sekali pun, atau gender apa sekali pun asalkan ia berkemampuan mengalahkan tikus." Jadi tidak timbul isu kononnya ada bias gender atau warna kulit," katanya.

Tambah Ahmad Zahid, UMNO khususnya dan BN keseluruhannya terus memilih kesederhanaan dalam politik sesuai dengan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

"Kita mahu kemenangan besar BN sebagai wadah penting dalam memperjuangkan politik kesederhanaan selama ini terbukti mampu menjamin kestabilan politik dan kemakmuran negara," katanya.

Berita Harian X