Jumaat, 4 November 2022 | 12:32am

Ada pemimpin BN tunjuk minat bertanding atas tiket PN

MARANG: Terdapat beberapa lagi pemimpin Barisan Nasional (BN) didakwa menunjukkan minat untuk bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Perkara itu didedahkan Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada sidang media selepas Ceramah Perdana Majlis Pengisytiharan Calon PN Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, malam ini.

Abdul Hadi yang juga Presiden PAS berkata, beberapa pemimpin itu ketika ini dalam proses untuk dinamakan dan kemungkinan akan diketahui pada hari penamaan calon.

"Ada lagi pemimpin (BN) namun sedang dalam proses... (tetapi) berapa kerusi tak boleh sebut lagi.

"Yang penting ada di utara, tengah dan selatan. Nantilah tunggu nama calon hari Sabtu (penamaan calon)," katanya.

Beberapa pemimpin yang digugurkan pencalonan mewakili BN pada PRU15 sebelum ini menunjukkan kesungguhan untuk mempertahankan kerusi Parlimen dimenangi tanpa menggunakan tiket BN.

Dua penyandang yang menang atas tiket BN pada PRU14 iaitu Datuk Seri Shahidan Kassim (Arau) dan Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib (Maran) sah bertanding atas tiket PN.

Ketika ditanya berhubung senarai calon yang dikemukakan pada PRU15, Abdul Hadi melahirkan rasa berpuas hati dengan perbincangan dijalankan dalam keadaan yang sangat tenang.

"Berpuas hati dan perbincangan sangat tenang, tidak tegang di antara satu sama lain, bertolak ansur dan PAS banyak jentera di seluruh negara.

"Namun, kita mengerahkan jentera PAS bekerja di parti rakan yang bertanding sebagaimana juga kita bertanding.

"Bahkan kita bersama menggunakan simbol (seperti) di Terengganu kita akan guna simbol PAS termasuk calon daripada BERSATU, pantai barat, utara pakai simbol Perikatan Nasional termasuk calon-calon PAS," katanya.

Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah bersama barisan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding Parlimen Terengganu pada PRU15 di Majlis Pengisytiharan di Dewan Tok Guru Rusila Marang, malam ini. NSTP/Ghazali Kori
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang (tengah bersama barisan calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding Parlimen Terengganu pada PRU15 di Majlis Pengisytiharan di Dewan Tok Guru Rusila Marang, malam ini. NSTP/Ghazali Kori
Berita Harian X