Khamis, 3 November 2022 | 7:41pm
Sembilan calon, termasuk enam muka baharu mewakili PKR dalam perebutan kerusi DUN Perlis pada PRU15. - NSTP/AIZAT SHARIF
Sembilan calon, termasuk enam muka baharu mewakili PKR dalam perebutan kerusi DUN Perlis pada PRU15. - NSTP/AIZAT SHARIF

PRU15: 6 muka baharu taruhan PKR rampas kerusi DUN Perlis

KANGAR: Enam muka baharu dipertaruhkan PKR untuk merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perlis pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Perlis, Nurul Izzah Anwar, berkata parti itu akan bertanding sembilan kerusi DUN di negeri ini, termasuk mempertahankan tiga daripadanya, iaitu Indera Kayangan, Kuala Perlis dan Sena.

"Daripada sembilan calon, enam muka baharu ditampilkan kali ini membabitkan pelbagai latar belakang, termasuk ahli perniagaan, jurutera, pelajar universiti dan pelbagai lagi.

"Enam kerusi yang menampilkan muka baharu adalah Chuping, Mata Ayer, Pauh, Tambun Tulang, Guar Sanji dan Simpang Empat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PKR Negeri Perlis di Pusat Khidmat DUN Sena, di sini hari ini.

Naib Presiden PKR itu juga memaklumkan, Pakatan Harapan (PH) bergantung kepada momentum jumlah keluar pengundi yang ramai untuk membantu gabungan itu dalam misi menang PRU kali ini.

Daripada keseluruhan 15 kerusi DUN di Perlis, selain sembilan diperuntukkan kepada PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) akan bertanding lima kerusi, manakala satu lagi ditandingi DAP.

Sembilan calon PKR DUN Perlis PRU15

Parlimen Padang Besar

N03 Chuping: Natthavuth a/l Seng

N04 Mata Ayer: Amran Kamarudin

Parlimen Kangar

N07 Sena: Asrul Nizan Abd Jalil

N08 Indera Kayangan: Gan Ay Ling

N09 Kuala Perlis: Nor Azam Karap

Parlimen Arau

N11 Pauh: Azhar Ameir

N12 Tambun Tulang: Muhammad Syahmi Suhaimi

N13 Guar Sanji: Hasparizal Hassan

N14 Simpang Empat: Amran Darus

Berita Harian X