ARAU: Datuk Zahidi Zainul Abidin mengesahkan akan mengikut langkah Datuk Seri Shahidan Kassim mempertahankan kerusi disandang, masing-masing Padang Besar dan Arau meskipun digugurkan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU).
Terdahulu, Shahidan mengesahkan beliau akan terus mempertahankan kerusi Parlimen Arau dengan bertanding atas tiket Perikatan Nasional (PN).
Zahidi, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang menyifatkan UMNO kini dalam kecelaruan politik, mendakwa banyak parti yang 'melamar', namun beliau belum membuat keputusan parti mana akan diwakilinya untuk bertanding di Padang Besar nanti.
Beliau juga percaya ramai pemimpin lain yang digugurkan berkemungkinan besar akan tetap bertanding, tetapi belum pasti atas tiket dan logo apa.
"Kita akan tengok pada 5 haribulan ini (penamaan calon). Sekarang ada perbincangan dan kita lihat di Parlimen Padang Besar, (pertembungan) amat sengit di antara UMNO dan calon lain.
"Kita belum dapat menjangka siapa akan menang," katanya ketika ditemui pemberita di Kubang Gajah, di sini semalam, sambil menjangkakan ramai calon termasuk Bebas akan cuba bertanding merebut kerusi Padang Besar.
Turut menjangkakan kerusi disandangnya dan kebanyakan kawasan lain bakal menyaksikan pertembungan enam hingga tujuh penjuru, Zahidi berkata, calon BN, Datuk Zahida Zarik Khan agak sukar untuk menang di Padang Besar kerana bukan pilihan akar umbi UMNO bahagian itu.