Khamis, 3 November 2022 | 6:30pm
 Foto hiasan
Foto hiasan

PRU15: 566 borang pencalonan di Pahang terjual

KUANTAN: Berbaki kurang 48 jam sebelum hari penamaan calon Sabtu ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Pahang menjual 566 borang pencalonan untuk Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Pengarah SPR negeri, Datuk Zamree Hamli, berkata daripada jumlah yang dijual sehingga semalam, sebanyak 144 borang di kawasan Parlimen manakala 422 borang pula di DUN.

Katanya, borang pencalonan itu dibeli oleh wakil parti politik dan calon bebas.

"Wakil calon membeli borang di pejabat SPR di sini dan pejabat Pegawai Pengurus Pilihan Raya di 14 Parlimen.

"Individu yang bercadang untuk bertanding mempunyai masa sebelum jam 10 pagi, Sabtu ini untuk mendapatkan borang pencalonan bagi kerusi Parlimen dan DUN," katanya ketika dihubungi hari ini.

Difahamkan akan berlaku pertembungan empat penjuru di 13 kawasan Parlimen di Pahang dengan Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) meletakkan calon masing-masing.

Bagaimanapun, PEJUANG dikatakan tidak akan bertanding di Cameron Highlands.

Pahang mempunyai 14 kawasan Parlimen dan 42 DUN.

Hari penamaan calon untuk PRU15 ialah Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 19 November ini.

Pengundian awal ditetapkan pada 15 November ini.

Berita Harian X