Khamis, 3 November 2022 | 3:32pm

'Ustaz Kazim tarik diri sebab hal keluarga' - Ahmad Maslan

JOHOR BAHRU: Keputusan pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri daripada menjadi calon Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut dipercayai berpunca hal dalaman keluarganya.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, mendakwa keputusan itu mempunyai kaitan dengan abangnya, Mohd Najmuddin Elias yang bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Kurau mewakili Perikatan Nasional (PN).

"Saya difahamkan, abang beliau (Ustaz Kazim) bertanding atas tiket BERSATU di satu daripada DUN di Larut, jadi saya kira ia adalah hal keluarga.

"Beliau pula dicadang untuk jadi calon BN di Larut, jadi tentunya dia akan berlaga, jadi itu yang mungkin menjadi isu di Larut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pengenalan 26 calon BN Johor, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang juga calon BN di Parlimen Kota Tinggi.

Sebelum ini, Mohd Kazim menarik diri daripada bertanding mewakili BN di Parlimen Larut pada PRU15.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara itu pada Pengumuman Calon BN semalam.

Saarani dilaporkan berkata, Mohd Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.

Datuk Mohd Kazim Elias. - Foto fail NSTP
Datuk Mohd Kazim Elias. - Foto fail NSTP
Berita Harian X