Khamis, 3 November 2022 | 2:58pm

PRU15: Mohd Shafie kekal pertahan Semporna

KOTA KINABALU: Presiden Parti Warisan (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal kekal mempertahankan kerusi Parlimen Semporna pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Beliau yang menyandang kerusi berkenaan sejak 1995 mengumumkan pencalonannya itu pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 WARISAN bagi Sabah dan Labuan, di sini, hari ini.

Selain beliau, enam lagi penyandang kerusi Parlimen mewakili WARISAN turut dicalonkan semula, termasuk kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan Labuan yang disandang Ahli Majlis Tertinggi WARISAN, Datuk Rozman Isli.

Lima penyandang lain ialah Timbalan Presiden WARISAN, Datuk Darell Leiking (Penampang); Ketua Penerangan WARISAN, Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar); Ketua Wirawati WARISAN, Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud); Ketua WARISAN Papar, Ahmad Hassan (Papar) dan Timbalan Ketua WARISAN Kalabakan, Ma'mun Sulaiman (Kalabakan).

Mohd Shafie turut menamakan adiknya, Datuk Mohd Yusof Apdal untuk merampas kerusi Parlimen Lahad Datu yang disandang bekas Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamadin Ketapi.

Mohamadin memenangi kerusi berkenaan atas tiket WARISAN ketika PRU14 pada 2018 tetapi keluar parti pada tahun lalu sebelum menyertai BERSATU dan kini Parti Bangsa Malaysia (PBM).

Bagi PRU15, WARISAN menyenaraikan calon pelbagai latar belakang di Sabah termasuk bekas Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding di kerusi Parlimen Kota Marudu.

Selain Mohd Shafie dan Darell yang masing-masing adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang dan Moyog, dua lagi ADUN mewakili parti itu turut dicalonkan pada PRU15.

Mereka ialah ADUN Bongawan, Dr Daud Yusof yang dicalonkan di kerusi Parlimen Kimanis dan ADUN Sekong, Alias Sani di kerusi Parlimen Batu Sapi.

Mohd Shafie turut menyenaraikan lima calon wanita termasuk Isnaraissah sebagai taruhan WARISAN memenangi sebanyak mungkin kerusi daripada 25 kerusi Parlimen yang ditandingi di Sabah.

Empat lagi ialah Joana Sue Henley Rampas (Tuaran), Amanda Yeo (Kota Kinabalu), Siti Noorhasmawatty Osman (Pensiangan) dan Rowiena Rasid (Beluran).

Calon WARISAN yang selebihnya ialah Rashid Abdul Harun (Kudat), Ahmad Mohd Said (Putatan), Masri Adul (Beaufort), Datuk Adnan Puteh (Sipitang), Markos Siton (Ranau), Rasinin Koutis (Keningau), Ukim Buandi (Tenom), Alex Thien (Sandakan), Ismail Ayob (Kinabatangan), Chen Ket Chuin (Tawau) dan Sh Bokrata Sh Hassan (Libaran).

Bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Bugaya, WARISAN mencalonkan seorang peguam syarie, Jamil Hamzah bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan bekas Ketua Wanita WARISAN, Allahyarham Manis Muka Mohd Dara yang meninggal dunia pada 17 November 2020.

Shafie (tengah) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 WARISAN bagi Sabah dan Labuan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/Ersie Anjumin
Shafie (tengah) pada Majlis Pengumuman Calon PRU15 WARISAN bagi Sabah dan Labuan, di Kota Kinabalu, hari ini. - Foto NSTP/Ersie Anjumin
Berita Harian X