KUALA BERANG: Penyandang kerusi Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid menjadi calon pertama diumumkan Perikatan Nasional (PN) untuk bertanding di negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika berucap pada Jelajah Prihatin dan Pelancaran Jentera PN PRU15 di Dewan Besar Majlis Daerah Hulu Terengganu, di sini, malam tadi, mengesahkan Rosol akan bersaing mempertahankan kerusi berkenaan.
Ia sekali gus menyaksikan Rosol yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, diketengahkan sebagai calon tunggal daripada BERSATU di Terengganu pada pilihan raya kali ini.
"Calon yang bertanding, tidak lain tidak bukan ialah saudara (Datuk) Rosol Wahid untuk Hulu Terengganu.
"Ini saya isytiharkan dulu fasal beliau adalah calon BERSATU. Insya-Allah, Hulu Terengganu kekal dimenangi PN," katanya.
PN Terengganu dijangka mengumumkan calon untuk bertanding di lapan kerusi Parlimen, pada Majlis Pengisytiharan Calon PAS Terengganu PRU15 di Dewan Tok Guru Rusila, Marang, malam ini.
Daripada jumlah itu, PAS akan bertanding di tujuh kerusi Parlimen di negeri ini membabitkan Marang, Kuala Terengganu, Kuala Nerus, Dungun, Setiu, Kemaman dan Besut, manakala BERSATU pula di Hulu Terengganu.
Dalam pada itu, Muhyiddin yang juga Presiden BERSATU, meminta seluruh jentera PN berusaha sedaya mungkin untuk memberi kefahaman betul kepada orang Melayu dan ahli UMNO supaya membuat pilihan tepat pada PRU15.
"Ia adalah suatu jihad yang perlu diteruskan supaya rakyat tidak membuat keputusan salah dengan menyokong Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).
"Saya cukup takut kalau-kalau selepas pilihan raya, kita berdepan situasi yang tidak boleh hendak kata apa kerana kalau nasi sudah menjadi bubur, kita nak buat macam mana. Oleh itu, pilihan raya ini ialah untuk menyelamatkan negara kita.
"(Ia bagi memastikan) negara kita jangan menjadi sebuah negara yang begitu rosak dan tidak boleh dibetulkan lagi... jatuh ke dalam satu gaung cukup dalam yang tidak boleh diselamatkan.
"Sekarang, masih ada waktu untuk kita selamatkan dan jika nak selamat, tidak lain tidak bukan kita menyeru kepada semua pengundi supaya menyokong PN," dakwanya.