SUNGAI BULOH: Calon bagi kerusi Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin mengakui sudah lama tidak gemuruh dan berasakan seolah-olah kali pertama bertanding pilihan raya, berikutan rekod kemenangannya selama tiga penggal hanya di satu kawasan di Rembau, Negeri Sembilan.
Khairy yang juga Menteri Kesihatan berkata, perasaan itu beransur hilang sebaik melihat sambutan sangat menggalakkan ketika hadir Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh (P107) di pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh di sini, malam ini.
Katanya, sambutan dan sokongan padu, khususnya masyarakat setempat dan dalam kalangan jentera Barisan Nasional (BN) serta Friends of BN Sungai Buloh terhadap kehadirannya untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) di sini, walaupun beliau adalah 'calon luar'.
"Sambutan BN Sungai Buloh sangat baik, sangat mantap dan saya sangat terharu dengan sokongan yang diberikan. Walaupun saya calon daripada kawasan lain sebelum ini, saya diterima dengan seadanya daripada pimpinan tempatan.
"Majlis pada malam ini penting sebab sebelum kita memulakan kempen, berjumpa pengundi atas pagar, pengundi yang tidak berparti, penting untuk kita selesaikan persiapan jentera dulu. Kalau jentera kuat, mudah sikit tugas kita dan calon di Sungai Buloh.
"Kita tidak mahu jadi seperti tempat lain, sebelum bermula sudah ada pelbagai masalah (boikot, tutup) pusat daerah mengundi," katanya kepada media selepas Majlis Bersama KJ di Parlimen Sungai Buloh (P107) di Pejabat UMNO Bahagian Sungai Buloh di sini, malam ini.
Khairy berkata, selepas diumumkan sebagai calon BN kawasan Sungai Buloh oleh pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi malam tadi, ini majlis pertama beliau bersama jentera BN dan paling utama adalah penghargaan terima kasih daripada seluruh pimpinan BN, terutama kepada MIC.
"Ini kerana sebelum ini kerusi ini tiga kali ditandingi parti komponen MIC dan terima kasih ini khususnya kepada mereka terutama Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran. Malah malam ini jelas tiada boikot daripada MIC, dan kehadiran semua memberi keyakinan kepada kita jentera bersatu padu dan jentera akan berusaha dengan gigih supaya dapat meyakinkan pengundi Sungai Buloh," katanya.
Ditanya mengenai majoriti lebih 20,000 pada PRU14 yang dimenangi Pakatan Harapan, Khairy mengakui ia bukan perkara mudah dan BN berstatus 'underdog' untuk merebut kawasan yang dianggap hitam.
"Insya-Allah minggu depan, saya akan melancarkan manifesto Kata Janji di Sungai Buloh, manifesto ini bukan janjikan bulan bintang tetapi manifesto yang khusus bagi setiap lokaliti, Pusat Daerah Mengundi (PDM) kerana ada perkara yang saya akan beri komitmen.
"Ini menunjukkan BN, kita buat kerja dengan teliti. Kita tidak cakap umum saja, kita akan bagi komitmen di setiap lokaliti, macam saya sebut di perkampungan Subang, perkampungan Sungai Buloh dan Paya Jaras.
"Kita juga akan dengar secara khusus pandangan daripada pengundi. Apa yang kita janji bukanlah 100 peratus. Cara kempen saya bukan hanya cakap, tetapi juga mendengar. Sesi 'townhall' sebagai contoh, yang mana ia bukan ceramah tetapi juga 'buka mikrofon' kepada penduduk," katanya.