Rabu, 2 November 2022 | 6:20pm

'Saya yakin dengan pengundi Kemaman' - Ahmad Said

KEMAMAN: "Saya bukan pilihan pertama calon Parlimen Kemaman," kata Datuk Seri Ahmad Said yang dicalonkan oleh Barisan Nasional (BN) bagi kerusi itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Ahmad yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO negeri menjelaskan, dia mencalonkan tiga nama iaitu pilihan pertama, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, kedua, Hisham Zuber (bekas pegawai khas Ahmad Shabery) dan beliau sendiri.

Namun katanya, disebabkan Ahmad Shabery kini menghadapi masalah kesihatan dan sedang dirawat di hospital, beliau diminta untuk menggantikan tempat Ahmad Shabery.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan parti kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk merampas kerusi berkenaan daripada PAS yang memenangi kerusi itu pada PRU-14.

Pada pilihan raya lalu, calon PAS, Alias Abd Hamid meraih undi sebanyak 39,878 menewaskan calon BN Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dengan majoriti 2,163.

"Ini bukan kali pertama saya dipilih (calon Parlimen Kemaman) kerana ketika zaman Tan Sri Wan Mokhtar (bekas MB Terengganu) pada 1995, saya pernah ditawarkan (calon Parlimen Kemaman) tetapi saya menolak.

"Kali ini saya terpaksa menerima tawaran ini selepas cadangan pertama kita, Ahmad Shabery (Datuk Seri) menarik diri agak uzur ketika ini. Dia terpaksa menarik diri dari bertanding di Parlimen Kemaman dan saya diberi amanah menggantikan Ahmad Sabery," katanya pada sidang media di kediamannya di Telok Kalong, di sini, hari ini.

Ditanya mengenai sokongan pengundi, Ahmad berkata berdasarkan sambutan yang diberikan, dia yakin mampu merampas semula kerusi berkenaan.

"Saya bersedia dan yakin dengan sokongan pengundi BN di Kemaman...saya orang Kemaman, saya tahu selok belok masyarakat di sini, saya yakin akan memberi kemenangan kepada BN," katanya.

Beliau yang juga ADUN Kijal turut ditanya mengenai barisan calon Parlimen BN Terengganu yang diumumkan oleh Presiden BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi malam tadi.

"Masih ada satu lagi kerusi yang belum diumumkan iaitu Parlimen Kuala Nerus, jadi sukar untuk saya mengulas," katanya.

Ditanya adakah Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali ditawarkan sebagai calon (Parlimen Kuala Nerus) beliau berkata, pucuk pimpinan parti sedang berbincang mengenai perkara itu dan belum lagi mempunyai keputusan.

Beliau turut membayangkan kerusi Parlimen berkenaan akan diisi calon BN.

Ahmad Said disambut penyokong sebaik tiba di kediamannya selepas diumumkan sebagai calon BN Parlimen Kemaman. - Foto ZAID SALIM
Ahmad Said disambut penyokong sebaik tiba di kediamannya selepas diumumkan sebagai calon BN Parlimen Kemaman. - Foto ZAID SALIM
Berita Harian X