Rabu, 2 November 2022 | 6:01pm
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Menteri Besar. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun. Menteri Besar. - Foto NSTP/AZRUL EDHAM

Parti politik boleh sewa dewan orang ramai di Negeri Sembilan - Aminuddin

SEREMBAN: Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan mana-mana parti politik yang berminat untuk menggunakan kemudahan dewan milik pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu bagi tujuan kempen atau sebarang aktiviti Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata semua parti politik boleh menyewa kemudahan itu mengikut jam.

"Penggunaan dewan orang ramai milik PBT bagi tujuan kempen, perjumpaan, mesyuarat atau lain-lain aktiviti berkaitan politik atau kepartian adalah dibenarkan untuk semua parti politik.

"Kebenaran berkaitan perkara ini sudah dimaklumkan kepada Pegawai Daerah dan Yang Dipertua semua PBT di Negeri Sembilan.

"Mereka boleh menyewa dewan mengikut jam tertentu tapi bukan tempoh yang lama atau sepanjang hari atau berminggu-minggu untuk mengadakan kempen atau sebarang aktiviti berkaitan PRU15.

"Namun kebenaran ini tidak membabitkan balai raya kerana balai raya tidak sesuai dan saiznya kecil," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, pihaknya sedar keadaan cuaca yang tidak menentu menyukarkan parti-parti politik untuk mengadakan aktiviti berkempen sempena PRU15 ini.

Beliau berharap menerusi tindakan itu dapat menyemarakkan semangat demokrasi yang baik sekali gus memudahkan rakyat mendapatkan maklumat berkaitan.

Katanya, semua parti politik mematuhi peraturan ditetapkan pihak berkuasa sepanjang menjalankan aktiviti berkempen terutamanya dalam hal pemasangan

bendera, gegantung, poster, iklan atau sebarang bahan kempen.

"Ini untuk memastikan bahan-bahan kempen berkenaan tidak menimbulkan kacau ganggu, risiko kemalangan atau kekotoran di dalam kawasan perbandaran," katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin yang juga bakal calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Port Dickson memaklumkan beliau akan bercuti bermula pada hari penamaan calon, 5 sehingga 19 November ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan menggunakan jentera kerajaan dalam menjalankan kempen PRU15.

"Ini sebagai langkah menghormati Perlembagaan dan memastikan kematangan politik itu terus subur," katanya.

Berita Harian X