JOHOR BAHRU: Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) membenarkan mana-mana pihak yang berminat untuk menggunakan fasiliti milik majlis itu bagi tujuan kempen atau sebarang aktiviti politik sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) ini.
Datuk Bandar Johor Bahru, Datuk Mohd Noorazam Osman, berkata bayaran penuh kadar sewaan dewan atau fasiliti itu mestilah dibuat kepada MBJB terlebih dahulu sebelum kemudahan itu digunakan.
"Penggunaan dewan, premis atau apa-apa fasiliti milik MBJB bagi tujuan kempen, perjumpaan, mesyuarat atau lain-lain aktiviti berkaitan politik atau kepartian adalah dibenarkan.
"Namun, penggunaan dewan atau fasiliti oleh mana-mana pihak hanya dibenarkan dengan syarat bayaran penuh kadar sewaan dewan mesti dibuat kepada MBJB terlebih dahulu," katanya pada Mesyuarat Penuh MBJB di Menara MBJB di sini, hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua parti politik mematuhi peraturan sepanjang menjalankan aktiviti berkempen terutamanya dalam hal pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan apa sebarang bahan kempen.
Ia antara lain, katanya, bagi memastikan bahan-bahan kempen itu tidak menimbulkan kacau ganggu, risiko kemalangan atau kekotoran di persekitaran bandar raya.
"Dalam kemeriahan parti-parti politik yang akan turun berkempen dalam masa terdekat ini,
segala peraturan berkaitan pemasangan bendera, gegantung, poster, iklan atau apa-apa bahan kempen hendaklah dipatuhi.
"Antara larangan dalam hal ini yang perlu dipatuhi setiap parti politik ialah tidak boleh mempamerkan bahan iklan pilihan raya sehingga menghalang isyarat lalu lintas, tanda arah atau lampu jalan.
"Selain itu, tidak boleh mempamerkan iklan pilihan raya yang merintangi mana-mana jalan atau bangunan yang boleh mencacatkan permukaan bangunan atau struktur bangunan serta tidak memasang bahan iklan di
jajaran jalan protokol dalam kawasan bandar raya ini," jelasnya.
Mohd Noorazam berkata, pihaknya hanya akan mengeluarkan Permit Mempamerkan Iklan Pilihan Raya kepada calon-calon parti politik yang membuat permohonan ke MBJB dan permit terbabit dikeluarkan selepas bayaran deposit dijelaskan sepenuhnya sebelum ia dikeluarkan atas nama calon itu sahaja.
Katanya, urusan pilihan raya adalah tertakluk kepada Undang-Undang Kecil Iklan Pilihanraya (Majlis Perbandaran Johor Bahru) 1990 dan Undang-undang Kecil Iklan Pilihanraya (Majlis Bandaraya Johor Bahru) (Pindaan 2020) serta syarat-syarat dan arahan lain yang dikeluarkan oleh MBJB dari semasa ke semasa.
"Saya berharap semua pihak dapat memberikan kerjasama yang baik dalam pematuhan peraturan supaya perjalanan PRU-15 ini berlangsung dengan lancar, teratur dan selamat," katanya.