Rabu, 2 November 2022 | 2:38pm
Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Yang Dipertua MUBARAK Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak.
Penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa (kiri) dan Yang Dipertua MUBARAK Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak.

'Annuar pemimpin budiman, bersikap positif walau tak dicalon'

KOTA BHARU: Sikap positif dan berlapang dada yang ditonjolkan penyandang Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa perlu dipuji walaupun nama beliau tidak dinamakan sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Yang Dipertua Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (MUBARAK) Kelantan, Datuk Mohd Rozali Isohak, berkata ia jelas menunjukkan kematangan Annuar dalam dunia politik yang tidak mudah melatah atau memberontak apabila namanya tidak dicalonkan.

"Memang saya terkejut juga apabila nama Annuar tidak dicalonkan di Parlimen Ketereh, tetapi apa boleh buat, dalam politik itu antara strategi parti. Mungkin parti sudah memikirkan sesuatu tempat yang terbaik untuk Annuar.

"Oleh itu, sikap ditonjolkan Annuar sangat bagus, itulah pemimpin sebenar," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan Ketua Puteri UMNO Kelantan, Marzuani Ardila Ariffin menjadi calon Parlimen Ketereh pada PRU15.

Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia menerusi catatan di Facebook awal pagi semalam menyatakan biarpun tidak dicalonkan semula, beliau akan terus melangkah ke hadapan.

Beliau turut menyatakan penghargaan kepada lebih 25,000 pengundi di Ketereh yang mengundinya pada PRU14.

Ketika diminta mengulas senarai nama calon BN yang akan bertanding di Kelantan, Mohd Rozali berkata, keputusan yang dilakukan pucuk pimpinan parti jelas menunjukkan kebijaksanaan mengatur strategi untuk meraih undi terutama pengundi muda.

"Ramai muka baharu ditampilkan pada PRU15 ini dan kita yakin semua pihak berpuas hati dengan keputusan parti," katanya.

Sementara itu, Felo Penyelidik Kanan Universiti Utara Malaysia (UUM) Kampus Kuala Lumpur, Prof Madya Datuk Dr Baharuddin Aziz berkata, sudah tiba masanya Annuar memberi laluan kepada calon muka baharu daripada UMNO dan membantunya memenangi kerusi Parlimen Ketereh.

"Sebaik-baiknya dia (Annuar) sokong calon Parlimen Ketereh, bukannya bertanding atas tiket parti lain kerana kita tahu dia antara orang lama di Kelantan yang berkhidmat untuk UMNO," katanya. - BERNAMA

Berita Harian X