Rabu, 2 November 2022 | 1:29pm
Datuk Rozabil Abd Rahman (kiri) dan Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto NSTP
Datuk Rozabil Abd Rahman (kiri) dan Datuk Seri Shahidan Kassim. - Foto NSTP

PRU15: Tok Ben sudah sedia hadapi Shahidan demi BN di Arau

ARAU: Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Arau pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini, Datuk Rozabil Abd Rahman, bertekad sedaya upaya mengekalkan kerusi itu di bawah BN, meskipun terpaksa berdepan penyandangnya, Datuk Seri Shahidan Kassim, yang dijangka turut bertanding kelak.

Beliau yang dipanggil Tok Ben oleh kalangan masyarakat setempat di Arau, berkata persaingan itu bukan urusan individu sebaliknya masing-masing akan mewakili parti.

"Jika Datuk Seri (Shahidan) tetap lawan, saya terpaksa (lawan) jugalah mewakili parti untuk bertanding dalam PRU kali ini mewakili Arau.

"Saya serah kepada pengundi dalam PRU kali ini. Dari segi peluang, kita bekerja dan serah kepada Allah SWT jadi saya mengambil sikap tidak mahu berkonfrontasi dengan mana-mana pihak.

"Saya akan berjumpa pengundi seramai mungkin dan terangkan kepada mereka mengenai manifesto UMNO dan BN dan kita serah kepada pengundi untuk menilainya nanti," katanya di sini, hari ini.

Rozabil berkata, beliau tidak faham dengan kritikan dilemparkan pelbagai pihak yang mendakwa beliau adalah calon luar dari Parlimen Arau, sedangkan pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO dan Naib Ketua Bahagian Arau sebelum ini.

"Saya tak pasti definisi 'orang luar' itu macam mana, selama dua penggal saya pernah menjadi Ketua Pemuda UMNO Bahagian Arau dan sepenggal pula sebagai Naib Ketua UMNO Bahagian Arau.

"Sewaktu saya pegang jawatan itu, tidak timbul pula cerita 'orang luar', jadi Arau ini dah sebati dengan saya, Insyaallah," katanya.

Rozabil berkata, beliau menyedari jentera BN Parlimen Arau banyak disusun Shahidan sebelum ini sehingga membawa kepada penutupan beberapa bilik gerakan sekitar kawasan itu sejurus mendapat khabar Shahidan digugurkan.

Namun, katanya masih ada bilik gerakan BN dalam Parlimen itu yang terus beroperasi dan petugas parti itu terus gigih bekerja.

"Mengenai gerak kerja jentera, saya dapat banyak juga panggilan dan teks daripada wakil cawangan di Parlimen Arau ini yang akan terus bekerja di peringkat Pusat Daerah Mengundi. Jadi Insya Allah, di Bahagian Arau ini, kita ada jentera yang cukup teratur dan boleh berjalan dengan baik.

"Dari segi kempen pula, setakat maklumat yang saya terima adalah, sehari dua lagi kita akan mulakan semua kempen malah saya akan pulang ke Arau untuk menyusun kempen dan gerak kerja jentera BN untuk digerakkan bertemu pengundi," katanya.

Berhubung kritikan dilemparkan Shahidan terhadapnya, beliau memahaminya kerana Shahidan adalah 'orang lama' yang datang daripada keluarga UMNO, selain sudah sebati dengan Parlimen Arau.

"Tidak mengapalah, kita beri sikit ruang kepada Datuk Seri (Shahidan) nak luahkan perasaannya dan dia pun datang daripada keluarga UMNO kerana ini yang Datuk Seri selalu sebut bahawa dia datang daripada keluarga UMNO.

"Malah, saya pasti Datuk Seri akan masih kekal dalam UMNO. Namun kita perlulah juga beri beliau ruang dan masa dalam hal ini kerana dia bukanlah 'orang baru' jadi bila dah lama di Arau dengan Datuk Seri, ia akan menjadi berpisah tiada cuma saya berharap Allah membantu membuka hari Datuk Seri untuk terus balik bersama dengan UMNO," katanya.

Dalam PRU kali ini, Rozabil yang pernah berada di bawah kepimpinan Shahidan termasuk menjawat jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perlis (PFA) menggantikan Shahidan dijangka akan bertanding melawan bekas bosnya itu yang dikhabarkan akan mewakili PN.

Selain itu, Rozabil turut berdepan saingan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dari PKR.

Berita Harian X