KANGAR: UMNO Perlis yakin ahlinya di peringkat akar umbi terutama di bahagian Arau dan Padang Besar, terus setia kepada parti walaupun dua tokoh besar di kawasan itu tidak tersenarai sebagai calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis, Datuk Seri Azlan Man, berkata berdasarkan pengalaman UMNO sebelum ini, ahli tidak akan berganjak untuk terus memberi sokongan kepada calon parti dan sebarang perbezaan pendapat yang berlaku hanya bersifat sementara.
Pada majlis pengumuman bakal calon BN bagi PRU15 di ibu negara malam tadi, dua tokoh politik di Perlis iaitu penyandang kerusi Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim dan Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin, tidak disenaraikan.
Ketua Puteri UMNO, Zahida Zarik Khan, dinamakan bertanding di Parlimen Padang Besar manakala bekas Naib Ketua UMNO Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman, di Parlimen Arau.
Turut dinamakan sebagai calon di Perlis ialah Exco Pemuda UMNO, Datuk Dr Fathul Bari Mat Jahya, untuk Parlimen Kangar.
"Insya-Allah, kita (UMNO Perlis) akan dapat hadapi ini. Apa yang berlaku hanya ibarat ribut sementara dan tidak akan berpanjangan," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.
Azlan yang juga Menteri Besar Perlis berkata, nama calon yang diumumkan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, yang juga Presiden UMNO itu adalah sesuai jika dilihat dari segi kedudukan dan latar belakang calon serta boleh membantu BN menang di Perlis. – BERNAMA