Rabu, 2 November 2022 | 12:49pm
Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) ketika sidang media selepas Majlis Pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh! di Bandar Baru Klang hari ini. - Foto BERNAMA

PRU15: Turunkan tol kekal sebagai komponen manifesto PH

KUALA LUMPUR: Isu penurunan kadar tol lebuh raya terus menjadi modal Pakatan Harapan (PH) untuk meraih sokongan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) apabila menjadi sebahagian daripada manifestonya jika kembali menawan Putrajaya pada 19 November ini.

Dalam manifesto bertajuk Kita Boleh! Tawaran Harapan PRU15, PH menyatakan komitmen untuk terus menyemak semua perjanjian konsesi lebuh raya di negara ini bagi mendapatkan harga terbaik.

Tawaran semakan tol pernah menjadi tawaran PH ketika PRU14 pada 2018, yang sebelum ini menyaksikan kadar tol di lebuh raya PLUS dan LPT2 diturunkan sebanyak 18 peratus.

"Kami berazam untuk terus mengurangkan tol PLUS secara beransur-ansur dengan matlamat utama untuk menghapuskan tol dan mengembalikan lebuh raya PLUS kepada pemilikan awam," katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim (tiga, kiri) yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) menyempurnakan pelancaran Tawaran Harapan Kita Boleh! di Bandar Baru Klang hari ini. - Foto BERNAMA

Turut ditegaskan PH kali ini ialah matlamat mereka untuk meneliti proses pelantikan pegawai tertinggi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Pencalonan Ketua Pesuruhjaya SPRM mesti disaring oleh Jawatankuasa Khas Parlimen dwipartisan.

"Ini akan memastikan pencalonan individu yang benar-benar berkecuali yang tidak akan melindungi kepentingan mana-mana pihak tertentu," janji PH menerusi manifesto itu.

PH juga berjanji meneruskan amalan pengisytiharan harta untuk semua menteri, ahli parlimen, penjawat awam kanan, pengerusi syarikat berkaitan kerajaan, serta semua pasangan dan ahli keluarga terdekat mereka yang berusia 18 tahun ke atas.

Berita Harian X