ARAU: "Kalau calon itu daripada kriteria calon boleh menang saya tiada masalah, bukannya calon mesin padi dan tidak pernah jejak kaki ke bahagian ini," kata Ketua Bahagian UMNO Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.
Shahidan berkata, beliau secara peribadi tidak mempunyai masalah sekiranya tidak dipilih sekalipun namun apa yang mengecewakannya adalah pemilihan calon bagi Parlimen Arau adalah seseorang yang berada di luar daripada senarai lima calon yang dihantar bahagian itu ke UMNO pusat.
"Saya secara peribadi tiada masalah sekiranya tidak dipilih untuk bertanding, namun calon penggantinya itu mestilah seorang yang boleh membawa kemenangan kepada parti," katanya selepas mengadakan pertemuan dengan penyokong di Pusat Khidmat Kubang Gajah, semalam.
Berdasarkan pengumuman rasmi calon Barisan Nasional (BN) semalam, nama Shahidan digugurkan daripada bertanding di Parlimen Arau dan digantikan oleh bekas Naib Ketua UMNO Bahagian Arau, Datuk Rozabil Abd Rahman atau dikenali sebagai 'Tok Ben' dalam kalangan orang Perlis.
Nasib yang sama juga menimpa penyandang kerusi Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin yang tidak dicalonkan untuk mempertahankan kerusi berkenaan selepas tempatnya digantikan oleh Ketua Pergerakan Puteri UMNO, Datuk Zahida Zarik Khan.
Susulan itu juga, Shahidan menempelak dan menggesa Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi supaya melepaskan jawatannya dan digantikan dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bagi menerajui parti utama orang Melayu itu selepas ini.
"Pandangan saya senang, BN akan kembali pulih kalau Zahid berhenti dan tak bertanding (dalam PRU15).
"Malah, saya lebih senang memilih calon pengganti yang ada memegang jawatan dalam peringkat bahagian Arau, ini langsung tiada jawatan dalam bahagian," katanya.
Shahidan mendedahkan bahawa calon penggantinya itu pernah menghubunginya bagi memaklumkannya untuk bertanding di Parlimen Arau namun ia tidak mendapat restu di peringkat bahagian.