IPOH: Pendakwah bebas, Datuk Mohd Kazim Elias menarik diri daripada bertanding mewakili Barisan Nasional (BN) di Parlimen Larut pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad mengumumkan perkara berkenaan pada Pengumuman Calon Barisan Nasional di sini, hari ini.
Saarani berkata, Mohd Kazim digantikan dengan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Larut, Mohd Shafiq Fhadly Mahmud.
"Mohd Shafiq menggantikan Mohd Kazim yang membuat keputusan menarik diri," katanya pada majlis pengumuman berkenaan.
Semalam, pencalonan Ustaz Kazim diumumkan sendiri Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Majlis Pengumuman Bakal Calon Parlimen BN di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Pemilihan tokoh agama itu berdasarkan populariti dan pengaruhnya di negeri Perak dan sesuai untuk berdepan calon Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Hamzah Zainudin di Larut.
Dalam ucapan pengumuman calon itu, Saarani yang bakal mempertahankan kerusi DUN Kota Tampan berkata tanggungjawab dan amanah kepada parti bukan sekadar sebagai calon tetapi juga apabila tidak dicalonkan.
"Matlamat bukan sahaja jadi calon tapi menang PRU. Perjuangan kita kembali jadi kerajaan Negeri Perak... kerajaan BN. Yang ingin kita laungkan adalah lambang dacing.
"Bermakna yang hendak kita turun padang pujuk rayu, lihat lambang dacing, lagi banyak undi lagi mudah menang," katanya.
Saarani berkata, BN akan bertanding di kesemua 24 kerusi Parlimen dan 59 kerusi DUN pada PRU15.
Selain Saarani, daripada UMNO, BN turut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Sumber Manusia negeri Ahmad Saidi Mohamad Daud bagi DUN Changkat Jering; Pengerusi Infrastruktur Awam, Tenaga, Air dan Pengangkutan Awam, Datuk Mohd Zolkafly Harun (Lintang) serta bekas pemain bola sepak Perak yang kini Ketua UMNO Bahagian Tapah, Ishsam Shahruddin (Ayer Kuning).
Antara calon MCA yang diketengahkan pula ialah Ang Sui Eng (Pokok Asam), Pan Chean Chang (Jalong) dan Woo Kok Toong (Canning).
Dalam sidang akhbar kemudiannya, Saarani berkata, BN belum menamakan calon di empat kerusi DUN iaitu Aulong, Jelapang, Sungkai dan Buntong kerana masih perlu berbincang di peringkat komponen sebelum membuat sebarang keputusan.
"Aulong ini asalnya daripada parti Gerakan, jadi di peringkat komponen masih lagi belum bincang siapa yang akan diberikan kerusi itu. MIC belum beri nama di Buntong, Jelapang dan Sungkai. Akan diumumkan kemudian apabila ada nama," katanya.
Mengulas mengenai calon, Saarani berkata BN membariskan calon-calon yang membentuk kepelbagaian latar belakang selain muka baharu berikutan ada penyandang yang tidak mahu bertanding atau tidak dipilih semula.
"Sebahagian tidak disambung. Ada yang tarik diri. Ada juga keputusan parti (tidak menamakan semula)," katanya.
Saarani sebelum ini dilapor berkata BN Perak menyasarkan memenangi sekurang-kurangnya 40 kerusi DUN dan 15 kerusi Parlimen pada PRU15.
DUN Perak mempunyai 59 kerusi. Sebelum pembubaran pada 17 Oktober, ia terdiri daripada 25 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN, DAP (15), Parti Amanah Negara (lima), BERSATU (empat) manakala PAS, PKR dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) masing-masing tiga manakala Bebas (satu).