Selasa, 1 November 2022 | 8:12pm

COVID-19: Tiada laporan subvarian XBB.1 di Johor

JOHOR BAHRU: Jabatan Kesihatan Johor (JKNJ) tidak menerima sebarang laporan berhubung kes Omicron membabitkan subvarian baharu, XBB.1 di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan negeri, Ling Tian Soon berkata, bagaimanapun, pihaknya akan terus memantau perkembangan jangkitan itu dan akan memastikan langkah pencegahan serta kawalan sewajarnya dilaksanakan secara berterusan.

"Kerajaan negeri mengambil maklum mengenai laporan berkaitan subvariant baru iaitu XBB.1 di Singapura, baru-baru ini yang turut dikaitkan dengan peningkatan kes COVID-19 di sana.

"Sehingga kini, tiada laporan mengenai Subvariant XBB.1 yang diterima dalam sistem Survelans Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Namun, pihak jabatan sentiasa peka dan memantau perkembangan keadaan itu dari semasa ke semasa," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam perkembangan kes COVID-19 pula, Tian Soon berkata, pola pelaporan jangkitan COVID-19 di Johor dalam tempoh beberapa bulan lalu, tidak menunjukkan peningkatan mendadak.

Sehingga 29 Oktober lalu, secara kumulatif, terdapat 395,188 kes COVID-19 dilaporkan yang mana 392,227 adalah jangkitan tempatan manakala baki 2,961 lagi adalah kes import.

"Kes yang masih aktif adalah sebanyak 2,337 dengan 2,173 iaitu 93 peratus menjalani kuarantin rumah, 164 iaitu tujuh peratus dimasukkan ke hospital termasuk tiga di Unit Rawatan Rapi (ICU). Penggunaan katil COVID-19 juga masih berada di bawah kadar lima peratus," katanya.

Berita Harian X