PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 2,913 positif baharu COVID-19 semalam, menyumbang kepada sejumlah 4,902,964 kes setakat malam tadi sejak ia mula dikesan pada Januari 2020.
Laman sesawang KKMNOW menunjukkan sebanyak 2,906 adalah penularan tempatan manakala tujuh lagi ada kes import.
Pada masa sama, sebanyak 2,833 kes sembuh dilaporkan, menjadikan 4,835,053 kes yang sudah pulih sepenuhnya daripada jangkitan COVID-19 setakat ini.
Sembilan kematian akibat COVID-19 juga direkodkan semalam dengan satu daripadanya adalah kematian di luar fasiliti kesihatan (BID).
Sehingga tengah malam tadi, sebanyak 36,475 kematian akibat COVID-19 direkodkan di negara ini dengan 7,762 kes adalah BID.
Tiga kematian termasuk kes BID dilaporkan di Negeri Sembilan; dua kematian masing-masing di Johor dan Selangor manakala Kedah dan Pahang masing-masing merekodkan satu kematian.
Setakat tengah malam tadi juga, sebanyak 31,436 kes masih lagi aktif dengan 29,973 menjalani isolasi di rumah dan 56 berada di wad Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 34 yang memerlukan bantuan pernafasan, manakala tiada kes dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC).
Penggunaan katil ICU juga berada pada paras 62.9 peratus.
Sementara itu, seramai 191 individu mendapatkan suntikan dos utama vaksin COVID-19 semalam, dan 276 mendapatkan dos penggalak pertama dan 739 individu lain pula mendapatkan dos penggalak kedua.