KUALA LUMPUR: Dua pegawai yang pernah berkhidmat dengan Datuk Seri Ahmad Zahidi menyifatkan bekas timbalan perdana menteri itu sebagai individu yang kerap menghulurkan sumbangan amal jariah dan terbabit dalam aktiviti kebajikan.
Bekas Setiausaha Sulit Kanan Ahmad Zahid yang ketika itu timbalan perdana menteri, Dr Sabri Zainudin Zainul dan bekas Pegawai Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Kamal Abdullah memberikan keterangan di Mahkamah Tinggi hari ini selaku saksi kelima dan keenam pembelaan.
Menurut Sabri Zainudin, 61, beliau boleh mengesahkan perkara itu dan sepanjang pengetahuannya, ramai orang datang ke pejabat untuk bertemu Ahmad Zahid bagi mendapatkan bantuan menyambung pelajaran.
Saksi itu berkata, Ahmad Zahid biasanya bersetuju untuk menghulurkan bantuan wang tunai kepada mereka yang memerlukan.
"Pernah terjadi apabila Datuk Seri tidak ada wang tunai untuk memberikan bantuan ketika itu, beliau akan memanggil saya untuk menggunakan wang saya terlebih dahulu jika ada dan akan membayar semula selepas itu.
"Datuk Seri turut memberi sumbangan setiap kali Kementerian Dalam Negeri mengadakan Hari Keluarga dengan menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu menampung perbelanjaan program terbabit," katanya dalam prosiding hari ini.
Sabri memberikan kenyataan bagi Ahmad Zahid yang membela diri terhadap 12 tuduhan pecah amanah, lapan rasuah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit dana milik Yayasan Akalbudi.
Sementara itu, Mohd Kamal Abdullah, 65, yang kini berkhidmat sebagai Pegawai Khas Ahmad Zahid, berkata di awal penubuhan Yayasan Akalbudi , Presiden UMNO itu sendiri memasukkan dana menggunakan wang miliknya ke dalam akaun yayasan untuk disumbang kepada individu yang memerlukan.
Menurut saksi itu, sumbangan itu kebanyakannya adalah bagi pembinaan masjid dan surau, pusat tahfiz dan sumbangan kepada orang miskin, anak yatim serta ibu tunggal.
Sumbangan itu bukan sahaja tertumpu di kawasan Bagan Datuk dan Melaka, malah di seluruh negara dan di luar Malaysia yang dikeluarkan daripada duit peribadi atau melalui Yayasan Akalbudi.