KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah - Barisan Nasional (GRS-BN) dijangka membuat pengumuman calon Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) serentak pada satu majlis di sini, petang esok.
Ia berdasarkan atur cara mengenai program berkenaan yang dikongsikan kepada media hari ini, yang antara lain merangkumi ucapan Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor selaku Pengerusi GRS.
Pemberian watikah kepada calon kedua-dua gabungan berkenaan menyusul selepas itu.
Sebelum ini, Setiausaha Agung GRS, Datuk Masidi Manjun memaklumkan pengumuman calon GRS dan BN dijangka pada 1 atau 2 November setelah semua rundingan mengenai pertukaran kerusi dimuktamadkan.
Setakat ini, belum diketahui berapa agihan kerusi kepada GRS dan BN berikutan belum ada pendedahan mengenainya daripada kedua-dua pihak.
Bagaimanapun, Bung Moktar sebelum ini menyatakan daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, kedua-dua gabungan bakal mendapat agihan kerusi secara menang-menang.
Ia bermakna, kedua-dua gabungan masing-masing mungkin mendapat sama ada 12 atau 13 kerusi untuk diagihkan pula kepada parti komponen masing-masing.
GRS mengandungi BERSATU, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO).
Daripada komponen itu, BERSATU dijangka mendapat sekurang-kurangnya enam atau tujuh kerusi, antaranya Sipitang, Kudat, Beluran, Libaran, Lahad Datu dan Batu Sapi, diikuti PBS (tiga) di Kota Marudu, Tuaran dan Kota Kinabalu, manakala SAPP di Tawau dan Sepanggar serta STAR di Keningau dan Ranau.
Hanya USNO dijangka tidak bertanding, namun keputusan muktamad bakal diketahui esok.
Bagi BN pula, selain tiga kerusi disandangnya iaitu Kinabatangan, Kimanis (UMNO) dan Pensiangan (Parti Bersatu Rakyat Sabah - PBRS), kerusi lain yang dijangka diberikan kepada gabungan itu ialah Putatan, Papar, Beaufort, Kota Belud, Kalabakan, Semporna dan Tenom (UMNO) selain Penampang (PBRS) dan Sandakan (MCA).
Bagaimanapun, kerusi muktamad yang bakal ditandingi parti kedua-dua gabungan itu dijangka diketahui esok atau pada hari penamaan calon PRU15, Sabtu ini.