Selasa, 1 November 2022 | 11:22am
Foto fail NSTP
Foto fail NSTP

PRU15: UMNO, MCA bertukar kerusi di Alor Gajah dan Tangga Batu

MELAKA: UMNO dan MCA dijangka melakukan pertukaran kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang membabitkan Parlimen Alor Gajah dan Tangga Batu.

Sumber memaklumkan, kata sepakat mengenai perkara itu dikatakan sudah dicapai antara kedua-dua pemimpin parti berkenaan menjelang detik pengumuman senarai calon BN, malam ini dengan calon MCA akan diletakkan di Tangga Batu manakala UMNO pula di Alor Gajah.

Kedua-dua kerusi Parlimen terbabit adalah kerusi tradisi bagi UMNO dan MCA sebelum ini, namun pada PRU14, kedua-duanya terlepas kepada pembangkang apabila calon UMNO yang diletakkan di Tangga Batu dan calon MCA di Alor Gajah, tewas.

Dengan mengekalkan status quo empat kerusi Parlimen milik UMNO dan dua kerusi untuk MCA, Barisan Nasional (BN) dijangka meletakkan calon yang berkaliber, berpengalaman serta `segar' sebagai langkah untuk memastikan kemenangan cemerlang di semua kerusi berkenaan.

Susulan pertukaran kerusi terbabit, BN dikatakan akan mempertaruhkan Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan di kerusi Alor Gajah pada PRU15 ini.

Naib Ketua Pemuda UMNO berusia 36 tahun itu, sebelum ini dikatakan akan dicalonkan di Parlimen Jasin, namun selepas beberapa siri rundingan dibuat, beliau yang juga Pengarah Ekonomi di Pejabat Perdana Menteri bakal dicalonkan di kerusi Alor Gajah.

Jika itu berlaku, Shahril Hamdan dijangka akan berhadapan saingan sengit apabila bakal berhadapan dengan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri yang juga bekas Ketua Menteri, Adly Zahari serta penyandang kerusi berkenaan mewakili Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.

MCA pula dijangka menamakan Pengerusi MCA Melaka yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong di Tangga Batu, sekali gus bertanggungjawab merampas kerusi itu semula yang terlepas kepada PH pada PRU14.

Calon PH, Rusnah Aluai dari PKR sudah dinamakan semula untuk mempertahankan kerusi berkenaan, manakala PN pula dijangka mencalonkan Pesuruhjaya PAS Melaka, Zulkifli Ismail.

Ban Hong yang juga Naib Presiden MCA, sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya menyerahkan penentuan calon serta kerusi parti itu kepada pucuk kepemimpinan parti selain akan akur setiap keputusan yang sudah pasti akan membawa kebaikan kepada BN keseluruhannya.

"Saya yakin dan percaya dengan pengalaman pucuk kepemimpinan parti untuk membuat keputusan dan pembahagian kerusi pasti sudah dikaji dan dinilai dengan sebaiknya sebelum kata putus dicapai secara bersama," katanya.

Sementara itu, calon BN di kerusi Parlimen Masjid Tanah yang pernah dikaitkan dengan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali, hampir pasti akan menamakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Masjid Tanah, Abdul Hakim Abdul Wahid, sekali gus bakal mencabar penyandang kerusi berkenaan mewakili PN yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Mas Ermieyati Samsudin serta seorang lagi calon PH.

Di Parlimen Hang Tuah Jaya pula, BN dikatakan bakal menampilkan seorang tokoh akademik sebagai calon bagi merampas kembali kerusi berkenaan.

Antara yang disebut-sebut adalah Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), Prof Dr Massila Kamalrudin.

PH sebelum ini menamakan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Adam Adli Abd Halim sebagai calon di kerusi berkenaan, manakala PN pula dikatakan akan mencalonkan bekas Rektor UTeM, Datuk Dr Mohd Rudin Abd Ghani.

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau yang juga Timbalan Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Roslan Ahmad hampir pasti menjadi taruhan BN untuk mempertahankan kerusi Parlimen Jasin.

Roslan atau lebih dikenali sebagai `Datuk Ron' akan dicabar calon PH yang juga Ketua AMANAH Kota Melaka, Datuk Harun Mohamed serta bekas Ketua Pemuda PAS Melaka, Ahmad Bilal Rahudin mewakili PN.

Penyandang kerusi Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang dinamakan DAP untuk kekal bertanding di kawasan itu akan dicabar calon BN dari MCA, Corny Chew, manakala PN pula dijangka meletakkan Pengerusi GERAKAN negeri, Datuk Seri Michael Gan Peng Lam.

Melaka mempunyai enam kerusi Parlimen. Pada PRU14, dua kerusi dimenangi BN iaitu Jasin dan Masjid Tanah diikuti PKR (Hang Tuah Jaya dan Tangga Batu), DAP (Kota Melaka) dan BERSATU (Alor Gajah).

Berita Harian X