MARANG: Sebanyak 25 premis, termasuk kediaman dan kedai, mengalami kerosakan teruk akibat ribut yang melanda Bukit Payong, di sini, petang tadi.
Penduduk, Jamsari Mohamed, 43, berkata insiden berlaku kira-kira jam 2.30 petang ketika beliau dan ibunya Minah Mat Ali, 69, sedang berehat di ruang tamu rumah mereka selepas solat zuhur.
Beliau berkata, kejadian itu menyebabkan 90 peratus bumbung rumah dan bengkel milik abangnya yang terletak bersebelahan rumah mereka, rosak selepas diterbangkan ribut dalam sekelip mata.
"Pada mulanya, hujan biasa-biasa saja, justeru memang tidak sangka ribut teruk sehinggalah terdengar bunyi dentuman kuat dari atas bumbung rumah.
"Apabila jenguk keluar, saya terkejut melihat bumbung terbang satu demi satu di depan mata. Hujan juga mulai lebat dan ruang dalam rumah dipenuhi air," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Undang, Bukit Payong, hari ini.
Susulan itu, Jamsari berkata, beliau bergegas menyelamatkan ibunya dan segera keluar dari rumah kerana bimbang dihempap bumbung atau terkena renjatan elektrik.
"Ketika itu, hanya fikir keselamatan mak yang sudah tua. Barang-barang memang saya tak fikir langsung, tak kisah rosak kerana nyawa mak lebih penting," katanya yang merancang untuk tumpang bermalam di rumah adik beliau di kampung berdekatan.
Pemilik kedai runcit, Rosmawati Mohd Saffi, 46, berkata ketika kejadian, beliau tiada di kedai kerana sedang mengajar Kelas Asas Fardu Ain (KAFA) di Sekolah Kebangsaan (SK) Undang.
Beliau kemudian mengetahui akan kejadian itu selepas anak perempuan, Nor Anis Nazihan Adnan, 18, menghubunginya dalam keadaan cemas dan menangis teresak-esak kerana ketakutan.
"Selepas menerima panggilan itu, saya terus bergegas ke kedai kerana risau dengar anak menangis teresak-esak, tak faham sangat apa yang dia cerita pada awalnya.
"Ketika keluar, memang ribut kuat dan hujan lebat, namun saya gagahkan juga kerana bimbang keselamatan anak perempuan yang berada seorang diri di kedai," katanya.
Rosmawati memaklumkan ketika tiba di sana, hujan masih lebat dan beberapa penduduk kampung tumpang berteduh di kedainya.
"Sudah hampir 20 tahun saya berniaga di sini, inilah kali pertama berlaku ribut seteruk begini. Walaupun ada banyak kerosakan terutama atap yang diterbangkan angin, saya bersyukur kerana anak dan orang kampung selamat," katanya.
Sehubungan itu, Rosmawati berkata, beliau dan penduduk lain berharap pihak yang berkenaan dapat segera menghulurkan bantuan kepada mangsa ribut yang terjejas.
Sementara itu, Pegawai Bahagian Kebajikan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh, berkata setakat ini, hanya 25 premis dikenal pasti terjejas dalam kejadian berkenaan.
Beliau berkata, pihaknya bagaimanapun akan menjalankan siasatan lanjut sama ada terdapat penduduk yang terjejas tetapi belum melaporkan kepada pihak terbabit.
Katanya, nilai kerugian belum dapat dipastikan, namun bantuan segera akan disalur bagi meringankan beban mangsa, selain untuk keselesaan penduduk terbabit memandangkan kini hujan kerap susulan peralihan ke musim Monsun Timur Laut. – BERNAMA