Isnin, 31 Oktober 2022 | 11:11am
Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau (kiri) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.

PRU15: Madius lawan Maximus di Tuaran?

KOTA KINABALU: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dikhabarkan mungkin berpindah kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Spekulasi mengatakan penyandang kerusi Parlimen Kota Marudu sejak 1995 itu bakal bertanding di kerusi Parlimen Tuaran atas tiket Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan menyerahkan kerusinya kepada muka baharu di Kota Marudu.

Maximus yang juga Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) sebelum ini dilihat mahu terus mempertahankan kerusi Kota Marudu bersandarkan kekuatan parti itu yang menguasai dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan berkenaan.

Parlimen Kota Marudu mengandungi tiga DUN, masing-masing dua dikuasai PBS iaitu Tandek dan Matunggong, manakala satu lagi Bandau yang kini diwakili Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM).

Sebelum ini, DUN Bandau dimiliki BERSATU tetapi wakil rakyatnya, Datuk Wetrom Bahanda bertindak keluar parti pertengahan bulan ini sebelum menyertai KDM kerana mahu bertanding di kerusi Parlimen Kota Marudu.

Difahamkan, kepemimpinan tertinggi GRS bersetuju mencalonkan Maximus di Tuaran dalam usaha gabungan itu merampas kerusi berkenaan daripada Pakatan Harapan - Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (PH - UPKO).

GRS merangkumi BERSATU, PBS, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) bertanding menggunakan lambang baharu yang sama pada PRU15.

Penyandang kerusi Tuaran yang juga Presiden UPKO, Datuk Madius Tangau sebelum ini mengesahkan akan mempertahankan kerusi Parlimen berkenaan yang didudukinya dua kali iaitu pada 1999 hingga 2008 dan 2013 hingga sekarang.

Maximus sebelum ini juga pernah menyatakan harapan supaya PBS diberi peluang mewakili GRS untuk bertanding di Tuaran pada PRU15 memandangkan parti itu turut menguasai dua daripada empat DUN di Parlimen berkenaan iaitu Tamparuli dan Kiulu.

Dua lagi kerusi DUN di Tuaran iaitu Sulaman dan Pantai Dalit masing-masing dikuasai GRS - BERSATU dan Barisan Nasional (BN) - UMNO.

Jika spekulasi pertukaran kerusi Maximus itu benar, ia bakal menyaksikan pertembungan dua pemimpin utama Kadazandusun di Sabah yang menjadi presiden parti di blok kerajaan dan pembangkang.

Madius sebelum ini menyatakan, beliau mempertaruhkan khidmatnya selama ini dalam membawa perubahan dan kesedaran mengenai krisis dan isu kepemimpinan yang melanda negara walaupun menyedari tindakannya pada 2018 tidak disenangi banyak pihak.

Selepas PRU14 pada Mei 2018, Madius 'dicop' sebagai punca kejatuhan kerajaan BN di Sabah berikutan tindakannya membawa UPKO keluar BN untuk bergabung dengan Parti Warisan (WARISAN) dan PH membentuk kerajaan baharu WARISAN Plus ketika itu.

Maximus atau pemimpin PBS dan GRS yang lain bagaimanapun masih berdiam diri mengenai spekulasi itu, selain menjelaskan supaya menunggu pengumuman calon GRS-BN yang mungkin diadakan esok atau lusa.

Sementara itu, pemerhati politik berpendapat tiada sebarang masalah berhubung penerimaan rakyat akar umbi di Tuaran jika Maximus dicalonkan GRS di kerusi berkenaan.

Pensyarah Kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Romzi Ationg, berkata ia selaras kedudukan PBS sebagai parti berbilang kaum dengan didominasi Kadazandusun Murut (KDM) yang turut menjadi antara komposisi kaum terbesar pengundi di Tuaran.

Berita Harian X