Isnin, 31 Oktober 2022 | 7:22am
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan calon PH Sabah di Putatan dan Tuaran petang dan malam ini. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI
Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengumumkan calon PH Sabah di Putatan dan Tuaran petang dan malam ini. - Foto NSTP/AZHAR RAMLI

PRU15: PKR, DAP kuasai kerusi PH di Sabah

KOTA KINABALU: PKR dan DAP menguasai lebih separuh daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini selepas rundingan akhir dengan semua parti komponen Pakatan Harapan (PH) Sabah yang dijangka selesai hari ini.

PKR dijangka bertanding 11 kerusi, disusuli DAP tujuh kerusi, manakala satu-satunya parti tempatan dalam PH Sabah, Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) diberi lima kerusi, diikuti satu kerusi kepada AMANAH.

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) yang baru saja melebarkan sayap ke Sabah beberapa bulan lalu turut dijangka mendapat satu kerusi di negeri ini.

Senarai calon dan kerusi yang ditandingi semua lima parti komponen PH itu dijangka diketahui sepenuhnya pada pengumuman calon PH Sabah oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di Putatan dan Tuaran, pada petang dan malam ini.

Bagaimanapun, beberapa kerusi, khususnya yang disandang PH Sabah ketika ini dan bakal ditandingi pemimpin utama parti masing-masing sudahpun diketahui secara tidak rasmi.

Ia termasuk UPKO yang bakal mempertaruhkan Naib Presidennya, Datuk Ewon Benedick di Penampang; Presidennya, Datuk Madius Tangau bakal mempertahankan kerusi Tuaran, manakala tiga lagi ialah di Kimanis, Beluran dan Libaran, masing-masing bakal diwakili pemimpin muda parti itu.

AMANAH mendapat satu kerusi di Parlimen Sipitang yang bakal ditandingi pengerusinya, Lahirul Latigu, selain turut mewakili PH di Wilayah Persekutuan Labuan.

Sementara itu, DAP sudah mengesahkan tiga kerusi disandangnya iaitu Kota Kinabalu, Sandakan dan Tenom bakal dipertahan penyandangnya, masing-masing oleh Chan Foong Hin, Vivian Wong Shir Yee dan Noorita Sual.

Empat kerusi lain yang bakal ditandingi parti itu ialah Keningau, Batu Sapi, Papar dan Lahad Datu, masing-masing diwakili muka baharu.

Secara keseluruhan, UPKO, AMANAH dan DAP mendapat 13 daripada 25 kerusi Parlimen di Sabah, manakala baki 12 kerusi lagi bermakna diagihkan kepada PKR dan MUDA.

Daripada jumlah itu PKR berkemungkinan besar bertanding di 11 kerusi termasuk dua kerusi disandangnya iaitu Tawau dan Putatan yang masing-masing akan dipertahankan Pengerusi PH Sabah, Datuk Christina Liew dan Naib Presiden PKR, Awang Hussaini Sahari.

Kerusi lain yang bakal ditandingi PKR di Sabah ialah Beaufort, Pensiangan, Ranau, Sepanggar, Kota Belud, Kudat, Kinabatangan, Semporna, Kalabakan dan Kota Marudu, namun satu daripada kerusi terbabit dijangka diberikan kepada MUDA.

Berita Harian X