Ahad, 30 Oktober 2022 | 11:43pm
 Mohd Shafie berucap pada Majlis Makan Malam ‘Reset Sabah’ anjuran WARISAN Kota Kinabalu malam ini. NSTP/ Rafiqah Dahali
Mohd Shafie berucap pada Majlis Makan Malam ‘Reset Sabah’ anjuran WARISAN Kota Kinabalu malam ini. NSTP/ Rafiqah Dahali

3 calon muda wakil WARISAN di Sandakan, Tawau dan Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) mengumumkan tiga lagi calon dalam kalangan orang muda bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata jurutera kimia, Alex Thien, 31, akan bertanding di Parlimen Sandakan dan peguam, Chen Ket Chuin, 28, pula bertanding di Tawau, manakala penganalisis kajian, Amanda Yeo, 29, bakal bertanding di Kota Kinabalu.

Beliau berkata, tiga calon muda wajah baharu itu mempunyai latar belakang pendidikan yang diiktiraf, berpengetahuan tinggi dan terdedah dengan dunia politik sebelum ini.

Katanya, pihaknya yakin pemilihan calon golongan belia profesional itu bakal menjadikan mereka pemimpin muda yang mampu mengemudi negara suatu hari nanti.

"Jika mereka menjadi Ahli Parlimen, dengan ilmu pengetahuan dimiliki, sudah tentu akan membantu mereka menjadi ahli politik dan pemimpin yang matang.

"Ia bukan hanya untuk WARISAN, tetapi juga menyumbang kepada kepimpinan di negara ini.

"Kita tidak boleh mengharapkan pengundi muda saja, tetapi juga harus mengharapkan pemimpin muda untuk memimpin.

"Sudah tentu kita akan membimbing mereka (dalam berdepan PRU15) dan mereka mampu (menjadi calon dan pemimpin) dengan bimbingan kita," katanya selepas Majlis Makan Malam 'Reset Sabah' anjuran WARISAN bahagian Kota Kinabalu di Dewan Hakka, di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden, Datuk Darell Leiking dan dua Naib Presiden, Datuk Junz Wong serta Terrence Siambun.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata, walaupun tiga kawasan bakal ditandingi tiga calon muda itu bukan dimiliki WARISAN, tetapi beliau yakin pihaknya mampu memenangi kerusi terbabit.

"Bukan disebabkan muda, mereka tidak boleh buat sebab pengundi membuat banyak pertimbangan lain.

"Sebelum kita bertanding dulu pun, ada kerusi bukan milik kita tetapi mereka (calon pilihan raya sebelum ini) menang kerana kita bantu," katanya.

Berita Harian X