KUALA LUMPUR: AMANAH menyerahkan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berunding mengenai isu pertindihan calon bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Changkat Jong, Perak membabitkan parti itu dan DAP.
Presidennya, Mohamad Sabu, berkata beliau menyerahkan isu terbabit kepada Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding dengan Pengerusi AMANAH Perak, Datuk Asmuni Awi.
"(Isu tindih calon di kerusi DUN) Changkat Jong kita serah kepada Pengerusi PH untuk berunding akhir dengan Pengerusi AMANAH Perak, mereka berdua akan berbincang isu terbabit.
"Kita serah (perundingan ini) pada seorang saja iaitu Pengerusi PH untuk bincang dengan dia (Asmuni)," katanya ketika diminta mengulas mengenai isu pertindihan calon bagi DUN Changkat Jong apabila AMANAH dan DAP masing-masing mengumumkan calon mereka bertanding di kerusi berkenaan.
Media kelmarin melaporkan DAP dan AMANAH dilihat bertelagah berhubung calon DUN Changkat Jong apabila kedua-dua parti menamakan calon bertanding di kerusi itu.
Terdahulu, pada sebelah pagi, AMANAH mengumumkan Dr Muhaimin Sulam sebagai calon dan pada sebelah malam pula, DAP mengumumkan calon Badrul Hisham Badarudin bagi kerusi sama.
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, bagaimanapun menegaskan tidak akan berlaku pertembungan kerana pucuk pimpinan PH sudah membuat keputusan menyerahkan kerusi itu kepada DAP.
"Tiada soal pertembungan di antara DAP dan AMANAH untuk calon kerusi DUN Changkat Jong.
"Ia hanya satu calon PH di setiap kerusi dan kawasan yang kita tandingi, jadi tidak akan timbul soal kita bertembung antara satu sama lain," katanya pada sidang media selepas hadir Majlis Pengumuman Calon PH-DAP Perak di Hotel Kinta Riverfront kelmarin.