Ahad, 30 Oktober 2022 | 5:51pm

Isu kerusi Parlimen Jerai, DAP dan AMANAH bertukar kerusi

GURUN: DAP menafikan timbul isu protes terhadap pemilihan calonnya di kerusi Parlimen Jerai berikutan keputusan itu dibuat selepas rundingan kerusi dalam Pakatan Harapan (PH).

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, berkata majlis pengisytiharan calon PH Kedah di Sungai Petani semalam, berjalan lancar tanpa sebarang gangguan daripada pihak lain.

Katanya, ketika proses rundingan pembahagian kerusi, DAP bersetuju menyerah kerusi Alor Gajah kepada Parti Amanah Negara (AMANAH) dan sebagai timbal balik, kerusi Jerai diberikan kepada DAP.

"Saya tak sedar ada apa-apa boikot semalam dan saya difahamkan majlis semalam berjalan lancar, cuma mungkin ada sedikit pandangan dalaman dan sebagainya tapi bagi saya itu adalah isu dalaman.

"Kerusi Parlimen Jerai ini kita ada rundingan dengan AMANAH di mana kita serahkan kerusi Parlimen Alor Gajah di Melaka kepada AMANAH dan kita menerima kerusi Parlimen Jerai, keputusan ini dibuat berdasarkan semangat rundingan secara bersama," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melancarkan Pusat Operasi Pilihan Raya PH Parlimen Jerai di Guar Chempedak, di sini, hari ini.

Semalam, PH mengumumkan Timbalan Pengerusi DAP Kedah, Zulhazmi Shariff, sebagai calon di kerusi Parlimen Jerai, satu-satunya kerusi Parlimen yang ditandingi DAP di negeri ini.

Bagaimanapun, Pengerusi AMANAH Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi, tidak hadir di majlis berkenaan, yang diadakan di Sungai Petani yang turut dihadiri Presiden AMANAH, Mohamad Sabu.

AMANAH hari ini memecat Phahrolrazi dipercayai ada kaitan dengan protesnya terhadap penyerahan kerusi Jerai itu kepada DAP.

Setiausaha Agung AMANAH, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli, berkata Phahrolrazi mengingkari keputusan dan melakukan perbuatan yang bertentangan dengan kepentingan parti.

Loke berkata pihaknya yakin tidak akan timbul soal pertukaran calon daripada parti lain kerana keputusan itu sudah dibuat Majlis Presiden PH dan setiap parti dalam komponen parti dalam PH perlu menghormati keputusan itu.

"Kita sentiasa mengangkat keputusan secara kolektif dan bersama, jadi kita hanya fokus kepada kempen sekarang," katanya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (tengah) bersama calon PH Parlimen Jerai, Zulhazmi Shariff (kiri) dan sebahagian penyokong ketika melawat Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen Jerai di Pekan Guar Cempedak. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke (tengah) bersama calon PH Parlimen Jerai, Zulhazmi Shariff (kiri) dan sebahagian penyokong ketika melawat Pusat Operasi Pakatan Harapan Parlimen Jerai di Pekan Guar Cempedak. - NSTP/Luqman Hakim Zubir
Berita Harian X